ISTANBUL: Gempa bumi kuat dengan magnitud 6.2 melanda Laut Marmara berhampiran kawasan barat Istanbul, menurut pihak berkuasa.
Gegaran dirasai di seluruh bandar terbesar Turkiye itu, menyebabkan orang ramai panik dan bergegas keluar ke jalan.
“Mengikut maklumat, gempa bumi bermagnitud 6.2 berlaku di Silivri, Laut Marmara, Istanbul,” kata Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya dalam satu hantaran di X, sambil menambah bahawa gegaran turut dirasai di wilayah-wilayah sekitarnya.
Gempa utama berlaku pada pukul 12.49 tengah hari (waktu tempatan) diikuti tiga lagi gegaran susulan dengan magnitud antara 4.4 hingga 4.9, menurut Agensi Pengurusan Bencana Turkiye (AFAD) di platform sama.
Semasa bangunan bergegar, orang ramai dilihat berlari keluar ke jalan dalam keadaan cemas.
Ramai yang kelihatan risau, ada yang memegang telefon bimbit untuk mendapatkan maklumat atau menghubungi orang tersayang, lapor wartawan AFP di tempat kejadian.
Setakat ini, tiada laporan segera mengenai kecederaan, kematian atau bangunan yang runtuh di kota besar yang didiami lebih 16 juta orang itu, menurut pihak berkuasa bandar dan pejabat gabenor wilayah.
“Sehingga kini, kami tidak menerima sebarang maklumat tentang bangunan yang runtuh,” kata pejabat gabenor, sambil menasihatkan orang ramai supaya menjauhi bangunan yang mungkin mengalami kerosakan akibat gegaran.
Gegaran turut dirasai sejauh negara jiran Bulgaria, menurut wartawan AFP di ibu negara Sofia.