SYDNEY: Gempa bumi kuat berukuran 6.9 skala Richter berlaku di luar pantai Pulau New Britain di Papua New Guinea, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), pagi ini.
Gempa cetek yang berlaku pada kedalaman 10 kilometer itu mencetuskan amaran tsunami yang kemudiannya ditarik balik oleh Pusat Amaran Tsunami Pasifik AS.
“Berdasarkan semua data yang ada, ancaman tsunami daripada gempa bumi ini kini sudah berlalu,” menurut pusat itu sambil menambah bahawa tiada tsunami diperhatikan di tapak pemantauan terdekat.
Gempa bumi berlaku pada 6.04 pagi waktu tempatan dan berpusat kira-kira 194 kilometer tenggara bandar utama terdekat Kimbe.
Seorang penyambut tetamu di Kimbe’s Liamo Reef Resort, Marolyn Simbiken, berkata setakat ini dia tidak melihat sebarang kerosakan.
“Kami memang merasakan gegaran tetapi tidak ada kerosakan besar.
“Tiada apa-apa yang rosak di sini dan tiada pemindahan,” katanya.
Beberapa gempa bumi yang lebih kecil, dengan magnitud awal antara 4.9 hingga 5.3, melanda selepas itu berhampiran kawasan laut yang sama, menurut USGS.