LUXEMBOURG: Kesatuan Eropah (EU) mengumumkan pakej bantuan kewangan baharu selama tiga tahun untuk rakyat Palestin bernilai sehingga 1.6 bilion euro (RM8.5 bilion), pada Isnin.
Perjanjian bantuan baharu ini diumumkan tepat sebelum pertemuan antara Perdana Menteri Palestin, Mohammed Mustafa, dan menteri-menteri luar EU di Luxembourg.
“Kami akan meningkatkan sokongan kepada rakyat Palestin. 1.6 bilion euro sehingga 2027 akan membantu menstabilkan Tebing Barat dan Gaza,” tulis Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas, di X.
EU berhasrat untuk memperkukuhkan Penguasa Palestin (PA) memandangkan Israel telah menyambung semula peperangan di Gaza selepas gencatan senjata menghentikan pertempuran selama dua bulan.
“Ini akan mengukuhkan kemampuan PA untuk memenuhi keperluan rakyat Palestin di Tebing Barat dan mempersiapkannya untuk kembali mentadbir Gaza sebaik keadaan mengizinkan,” kata Kallas.
Brussels yang menjadi penderma antarabangsa terbesar kepada rakyat Palestin menyatakan pakej ini termasuk 620 juta euro (RM3.09 billion) dalam bentuk geran untuk PA.
Menurut EU, dana tersebut akan menghubungkan reformasi berkaitan kelestarian fiskal, tadbir urus demokratik, pembangunan sektor swasta serta infrastruktur dan perkhidmatan awam.
Selebihnya terdiri daripada 576 juta euro (RM2.87 billion) dalam bentuk geran untuk projek pemulihan ekonomi di Gaza, Tebing Barat, dan Baitulmuqaddis Timur.
Tambahan 400 juta euro (RM1.99 billion) dalam bentuk pinjaman akan disediakan oleh badan pinjaman EU, Bank Pelaburan Eropah.
Pakej baharu EU ini merupakan kesinambungan daripada rancangan sokongan tiga tahun sebelumnya bernilai 1.36 bilion euro (RM6.7 billion) dari 2021 hingga 2024.