BRUSSELS: Eropah mengalami bencana banjir paling meluas dengan hampir satu per tiga sungainya melimpah dalam tempoh lebih 10 tahun pada 2024, menurut laporan pengawasan perubahan iklim Kesatuan Eropah (EU), pada Selasa.
Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus melaporkan kawasan terjejas teruk termasuk Valencia di Sepanyol serta Eropah Tengah dan Timur ketika dunia mencatatkan tahun terpanas dalam rekod.
Banjir dan ribut pada 2024 mengorbankan lebih 300 nyawa, menjejaskan 413,000 penduduk, dan menyebabkan kerugian ekonomi sekurang-kurangnya 18 bilion euro (RM91.5 bilion).
Kira-kira 30 peratus rangkaian sungai Eropah dilanda banjir pada tahun yang mencatatkan antara 10 tahun paling lembap di benua itu sejak 1950, menurut laporan terbaru Copernicus bersama Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Hujan yang biasanya turun selama tiga bulan hanya berlaku dalam tempoh lima hari pada bulan September apabila Ribut Boris mengakibatkan banjir besar dan kerosakan meluas di lapan negara Eropah Tengah dan Timur.
Sebulan kemudian, ribut kuat yang terbentuk daripada udara lembap dan panas dari Laut Mediterranean mencurahkan hujan lebat ke atas Sepanyol, menyebabkan banjir teruk yang memusnahkan wilayah timur Valencia.
“Eropah menyaksikan banjir paling meluas sejak 2013,” kata Samantha Burgess dari Pusat Ramalan Cuaca Jarak Sederhana Eropah (ECMWF) yang mengendalikan Copernicus.
Perbezaan ketara dilihat antara Eropah Barat (lebih lembap) dan Timur (lebih kering dan panas) pada 2024. Burgess menjelaskan fenomena ini dipengaruhi sistem tekanan bertentangan, bukan secara langsung oleh perubahan iklim.
Namun, beliau menegaskan ribut tahun lalu mungkin lebih teruk kerana atmosfera panas menampung lebih lembapan.
Eropah memanas dua kali lebih pantas berbanding purata global sejak 1980-an, menjadikannya benua paling cepat panas di Bumi. – AFP