MOSCOW: Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani mendakwa Israel gagal mematuhi perjanjian gencatan senjata yang dicapai pada Januari lalu ketika beliau mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin di Moscow semalam.
“Seperti yang anda sedia maklum, kami telah mencapai satu perjanjian beberapa bulan lalu, namun malangnya Israel tidak menghormati perjanjian tersebut,” kata pemimpin Qatar itu yang merupakan antara pihak utama yang menjadi orang tengah dalam rundingan tersebut.
Gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang dimeterai dengan bantuan Qatar, Mesir serta Amerika Syarikat mula berkuat kuasa pada 19 Januari lalu, sekali gus menghentikan sementara konflik yang berlarutan selama lebih 15 bulan sejak serangan pejuang Palestin pada 7 Oktober 2023.
Fasa pertama gencatan senjata itu berakhir pada awal Mac lalu apabila kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat untuk langkah seterusnya sebelum Israel kemudian menyambung semula serangan udara dan darat terhadap Gaza pada 18 Mac, selain menghentikan kemasukan bantuan kemanusiaan.
Sheikh Tamim dalam pertemuan itu turut menegaskan komitmen negaranya untuk terus memainkan peranan sebagai pengantara.
“Qatar akan terus berusaha menyatukan pandangan demi mencapai satu persetujuan yang boleh menamatkan penderitaan rakyat Palestin, khususnya di Gaza,” katanya.
Putin dalam pada itu menghargai usaha Qatar dan menyifatkannya sebagai usaha yang serius dalam menyelesaikan konflik Palestin-Israel serta menyifatkan jumlah korban yang tinggi sebagai satu tragedi.
“Penyelesaian jangka panjang hanya boleh dicapai berdasarkan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), terutama sekali yang berkaitan penubuhan dua negara,” tambah Presiden Rusia itu.
Menurut Kementerian Kesihatan di wilayah Gaza, serangan terbaharu Israel telah mengorbankan sekurang-kurangnya 1,691 nyawa, menjadikan jumlah keseluruhan korban sejak perang meletus kepada 51,065 orang, kebanyakannya terdiri daripada orang awam.