NEW DELHI: Gergasi teknologi Apple menggunakan penerbangan kargo khas untuk menerbangkan lebih 500 tan iPhone atau kira-kira 1.5 juta unit dari India ke Amerika Syarikat (AS).
Tindakan itu diambil selepas syarikat berkenaan meningkatkan pengeluaran bagi mengelakkan tarif import Presiden Donald Trump, menurut sumber kepada Reuters.
Butiran ini mendedahkan strategi sulit syarikat telefon pintar AS itu untuk mengatasi tarif Trump dan menambah stok iPhone dalam pasaran utama mereka.
Penganalisis memberi amaran harga iPhone di AS mungkin melonjak memandangkan Apple amat bergantung kepada import dari China yang merupakan hab pembuatan utama peranti tersebut selepas dikenakan tarif tertinggi Trump sebanyak 125 peratus.
Angka itu jauh melebihi tarif 26 peratus ke atas import dari India yang kini ditangguhkan selepas Trump mengumumkan penangguhan 90 hari minggu ini, tetapi tidak termasuk China.
“Apple mahu mengelak tarif tersebut,” kata satu daripada sumber yang mengetahui perancangan itu.
Syarikat itu juga mendesak pihak berkuasa lapangan terbang India untuk memendekkan masa pemprosesan kastam di lapangan terbang Chennai, Tamil Nadu, dari 30 jam kepada hanya enam jam, tambah sumber tersebut.
Susunan ‘lorong hijau’ di lapangan terbang pusat pembuatan India itu juga mencontohi model yang digunakan Apple di beberapa lapangan terbang China.
Kira-kira enam jet kargo dengan kapasiti 90 tan setiap satu telah berlepas sejak Mac, termasuk minggu ini sejurus tarif baharu dilaksanakan, menurut sumber dan seorang pegawai kerajaan India.
Berdasarkan pengiraan Reuters, berat pakej iPhone 14 beserta kabel pengecasnya ialah sekitar 350 gram, menjadikan jumlah kargo 540 tan itu mewakili kira-kira 1.5 juta unit iPhone (setelah mengambil kira berat pembungkusan).
Apple dan kementerian penerbangan India tidak memberi reaksi untuk komen manakala semua sumber enggan dikenali kerana perbincangan dan strategi sulit.