MIAMI: Dua orang terbunuh dalam satu kejadian tembakan rambang yang dipercayai dilakukan oleh anak kepada seorang timbalan sheriff tempatan di sebuah universiti di Florida, menurut pihak polis negeri.
Lima lagi mangsa dikejarkan ke hospital selepas suspek mengamuk dan melepaskan tembakan ke arah pelajar di kawasan Florida State University, sebelum akhirnya ditembak oleh pihak berkuasa.
Rakaman video menunjukkan seorang pemuda berjalan di kawasan padang sambil melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang sedang melarikan diri.
Beberapa saksi memaklumkan, keadaan ketika itu menjadi huru-hara apabila orang ramai berpusu-pusu melarikan diri di kampus berkenaan, sebaik mendengar bunyi tembakan berhampiran bangunan pelajar.
“Dua mangsa disahkan meninggal dunia manakala lima individu lain telah dibawa ke hospital berdekatan akibat kecederaan tembakan,” kata Ketua Polis Universiti Florida State, Jason Trumbower.
Menurut Sheriff, Walt McNeil, suspek dikenali sebagai Phoenix Ikner, 20 tahun merupakan pelajar universiti berkenaan dan anak kepada seorang timbalan sheriff daerah Leon County.
“Timbalan Ikner telah berkhidmat di Pejabat Sheriff Leon County selama lebih 18 tahun. Beliau seorang anggota yang cemerlang dan amat berdedikasi kepada komuniti ini.
“Malangnya, anak beliau dipercayai telah mendapat akses kepada satu daripada senjata miliknya dan senjata itu ditemui di lokasi kejadian,” kata McNeil
Tambah McNeil, suspek pernah menjadi ahli Majlis Penasihat Belia Pejabat Sheriff Leon County dan aktif menyertai beberapa program latihan yang dianjurkan agensi itu, justeru tidak mengejutkan jika dia mempunyai akses kepada senjata.
Suspek dilaporkan sudah dibawa ke hospital selepas ditembak, namun keadaannya tidak diketahui setakat ini.-AFP