BEIJING: China sesekali tidak akan ‘melayani permainan nombor’ oleh Amerika Syarikat (AS) selepas Rumah Putih meningkatkan kadar tarif kepada negara itu sebanyak 245 peratus, yang tertinggi setakat ini.
Pecahan tarif itu dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu tarif barangan sebanyak 125 peratus, 20 peratus untuk menangani krisis dadah fentanil dan tarif antara 7.5 peratus dan 100 peratus terhadap barangan tertentu dengan alasan menangani amalan perdagangan tidak adil.
Presiden Donald Trump ketika ini terus menjadi perhatian seluruh dunia selepas berulang kali membuat pusingan u dalam melaksanakan penetapan tarif perdagangan terhadap sejumlah negara terlibat.
Di sebalik semua keputusan yang dibuat, Trump sehingga kini masih tidak mengecualikan China, malah terus ‘membebankan’ negara itu dengan kadar tarif yang disifatkan tidak masuk akal.
Sebagai tindak balas, Beijing juga mengambil langkah yang sama, malah menegaskan tidak akan sesekali tunduk pada tekanan AS, selain enggan berunding dengan Washington.
Pada minggu lalu, China turut mengemukakan aduan kepada Organisasi Perdagangan Dunia (WTO) mengenai tarif yang dilaksanakan AS dan menuduh Washington mencabuli piagam WTO.
Beijing juga pada masa sama melantik perunding perdagangan baharu yang akan berperanan mengadakan rundingan dengan pelbagai pihak berhubung perang tarif yang berlaku.
Trump sebelum ini menyatakan AS bersedia untuk berunding dengan China, namun beliau mahu negara itu yang mengambil Langkah dahulu dan menegaskan Beijing ‘amat perlukan duit’ dari Washington.
Dalam perkembangan berkaitan, WTO menyatakan tarif baharu yang dilaksanakan AS akan memberi kesan paling besar kepada AS dan Kanada.
WTO mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi rantau Amerika Utara yang merangkumi AS dan Kanada hanya sebanyak 0.4 peratus tahun ini, jauh merosot daripada anggaran awal sebanyak dua peratus.