BEIJING: Sebuah pesawat Boeing yang tiba di kilang pemasangan berhampiran Shanghai bulan lalu dikesan kembali ke Amerika Syarikat (AS), menurut data penjejakan penerbangan.
Perkara itu menandakan sekurang-kurangnya sebuah syarikat penerbangan China mungkin menangguhkan penerimaan pesawat baharu disebabkan tarif AS.
Pengeluar pesawat AS itu dilaporkan berdepan larangan import daripada China, sebahagian daripada konfrontasi yang semakin meningkat berhubung tarif global ‘timbal balik’ Presiden Donald Trump.
Bagaimanapun, sumber industri memaklumkan status peraturan itu masih tidak jelas.
Sebagai tanda Boeing bersiap sedia untuk perniagaan biasa beberapa minggu sebelum Trump mengumumkan tarif pada 2 April, data penjejakan pada Jumaat menunjukkan sekurang-kurangnya empat pesawat 737 MAX baharu diterbangkan dari Seattle dan berada di pusat pemasangan dan penghantaran di Zhoushan.
Boeing memasang bahagian dalaman dan mengecat livery di pusat itu sebelum menyerahkan pesawat kepada pelanggan di China.
Pada pagi Jumaat, satu daripada pesawat itu berlepas dari Zhoushan menuju Guam, satu daripada perhentian biasa bagi penerbangan yang melintasi Lautan Pasifik sebelum tiba ke Seattle-menunjukkan ia sedang dalam perjalanan pulang, menurut data penjejakan.
Bagaimanapun, Boeing enggan memberikan komen.
Penerbitan penerbangan The Air Current pada Khamis melaporkan satu daripada empat pesawat yang baru tiba telah ditandakan untuk ditarik balik ke AS tanpa penyerahan.