LONDON: Belum pun genap dua minggu memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Sementara Perkhidmatan Kesihatan Negara (NHS) England, Jim Mackey kini menjadi perhatian apabila didakwa ‘mengurus perkhidmatan kesihatan negara dari dalam gerabak kereta api’ sambil menonton Netflix dan tidur dalam kelas pertama ketika waktu bekerja.
Menurut laporan eksklusif Daily Mail, Jim yang dilantik pada 31 Mac lalu dengan tanggungjawab besar mengurus bajet NHS sebanyak 186 bilion pound (RM1.07 trilion) dan 1.5 juta kakitangan, dilihat menaiki kereta api dari London ke Newcastle selepas memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Kesihatan Parlimen.
Sepanjang perjalanan sejauh hampir 482 kilometer itu, beliau dilaporkan menonton siri drama The Diplomat sebelum tertidur selama setengah jam, meskipun terdapat peringatan mesyuarat dalam taliannya.
Beliau turut didakwa meninggalkan komputer riba dalam keadaan tidak berkunci ketika ke tandas, satu tindakan yang mencetuskan kebimbangan keselamatan maklumat sulit.
Dokumen penting yang terdedah termasuk berkaitan mesyuarat kepimpinan NHS, dilihat terbuka di hadapan umum malah, selepas bangun daripada tidur, beliau dikatakan menonton program hiasan dalaman pula.
Beliau dilaporkan melakukan perjalanan ulang-alik dua kali seminggu antara kediamannya di Northumberland dan pejabat NHS England di London, melibatkan kira-kira 1,931 kilometer seminggu.
Beliau juga dilaporkan kerap menamatkan waktu kerja lebih awal, termasuk pada hari Khamis apabila meninggalkan ibu pejabat NHS di Waterloo pada pukul 3.45 petang waktu tempatan untuk ke stesen kereta api.
Bagaimanapun, Setiausaha Kesihatan, Wes Streeting mempertahankan pelantikan itu dan menyifatkan Jim sebagai pemimpin yang bernilai emas dan sudah membuktikan kecekapan dalam masa singkat.
Jurucakap NHS England pula berkata, beliau dilantik kerana kepakaran serta rekod pencapaiannya malah dalam dua minggu pertama, beliau berjaya mengurangkan unjuran defisit NHS sebanyak 4 bilion pound (RM23 bilion).
Insiden ini turut mengingatkan kepada pendedahan sebelum ini oleh Daily Mail mengenai John Tuckett, pilihan Buruh sebagai Ketua Pemeriksa Bebas Imigresen, yang dibenarkan bekerja dari Finland dengan gaji 130,000 pound (RM751,463) setahun, sebelum akhirnya diarahkan berpindah ke UK.