LONDON: Dalam era media sosial dipenuhi video reels Instagram yang menggamit perasaan, panduan pelancongan bergambar indah dan gambaran berlebihan dalam filem, ramai pelancong teruja memilih destinasi idaman namun, impian sering kali bertukar menjadi kekecewaan apabila realiti tidak seindah promosi.
Fenomena ini bukan lagi perkara baharu malah, ‘Paris Syndrome’, iaitu satu keadaan emosi yang menimpa pelancong apabila Paris nyata tidak seindah yang dibayangkan menjadi contoh paling dikenali namun, satu kajian terbaharu mendedahkan kekecewaan pelancong tidak hanya tertumpu kepada ibu negara Perancis itu semata-mata.
Berdasarkan analisis 97,409 ulasan Google di 100 bandar pelancongan paling popular dunia oleh penyedia perkhidmatan pelancongan, Radical Storage, disenaraikan antara beberapa bandar yang paling mengecewakan pelancong dari seluruh dunia.
Yang pertama ialah bandar Cancún, Mexico, meskipun dikenali sebagai syurga percutian pantai, namun bertukar menjadi lokasi paling mengecewakan dengan rungutan harga yang terlalu mahal, penjual yang terlalu agresif dan suasana yang terlalu komersial sehingga hilang keasliannya.
Yang kedua, walaupun diiktiraf sebagai ‘ibu kota pelancongan’ Turkiye, Antalya menerima kritikan terhadap perkhidmatan pelanggan yang lemah, pantai yang sesak dan harga ‘perangkap pelancong’ yang melampau.
Walaupun dipenuhi resort mewah serba lengkap, ramai pelancong berasa pengalaman di Punta Cana, Republik Dominika terlalu umum, mahal dan berulang, dengan isu infrastruktur buruk dan pengalaman budaya yang cetek.
Seterusnya, meskipun Ibu Negara China tersebut memiliki kelebihan seperti kaya dengan sejarah, namun Beijing dikritik kerana pencemaran, kesesakan pelancong di lokasi ikonik seperti Tembok Besar dan Kota Larangan, halangan bahasa yang ketara disamping pengawasan ketat serta prosedur masuk yang rumit menambah beban kepada pelancong.
Dikenali sebagai kota taman tema, Orlando dikecam kerana kos tinggi, barisan panjang, cuaca panas terik dan pengalaman pelancongan yang dianggap ‘palsu’. Di luar taman tema, bandar ini dikatakan kurang tarikan.
Akhir sekali, terkenal dengan kuil merah dan bunga sakura, Kyoto kini menjadi mangsa pelancongan berlebihan di mana keluhan termasuk kuil sesak, layanan dingin daripada penduduk tempatan dan harga tinggi tanpa pengalaman yang mendalam memberi pengalaman yang mengerikan kepada mereka yang melawat kawasan pelancongan tersebut.
Senarai ini menjadi peringatan keindahan yang dipaparkan dalam media sosial tidak semestinya menggambarkan realiti sebenar dan pelancong dinasihatkan supaya membuat kajian mendalam sebelum memilih destinasi, agar percutian impian tidak bertukar menjadi kenangan pahit.