WASHINGTON: Tokoh pelaburan terkenal, Warren Buffett muncul satu-satunya individu dalam senarai 500 bilionair dunia yang mencatat keuntungan ketika dunia digoncang dasar tarif Presiden Donald Trump yang telah menyebabkan pasaran saham global menjunam.
Menurut Bloomberg Billionaires Index, 499 individu terkaya dunia mengalami kemerosotan nilai kekayaan sejak Trump memulakan perang perdagangan, namun Buffett, 94, berjaya menambah AS$12.7 bilion (RM60.2 bilion) kepada nilai asetnya sejak 1 Januari lalu.
Keuntungan itu dicapai selepas Ketua Pegawai Eksekutif Berkshire Hathaway mengambil langkah menjual sejumlah besar saham miliknya, termasuk di syarikat gergasi seperti DaVita, Bank of America, CitiGroup dan Apple malah turut melepaskan pegangan dalam dana dagangan bursa (ETF) yang sebelum ini dipuji sebagai ‘lubuk duit’.
Langkah agresif Buffett menjual saham-saham utama termasuk 150 juta unit Bank of America yang sebelum ini antara pelaburan paling disukainya telah meningkatkan simpanan tunai syarikat kepada rekod AS$325 bilion (RM1 trilion), mencukupi untuk membeli kesemua syarikat AS kecuali 25 teratas.
Dalam masa yang sama, 499 lagi individu kaya dunia mengalami kejatuhan nilai aset secara drastik diantaranya ialah ketua Pegawai Eksekutif Tesla dan SpaceX, Elon Musk yang juga merupakan sekutu rapat Trump mencatat kerugian bersih sebanyak AS$130 bilion (RM582 bilion) setakat tahun ini sahaja.
Usahawan terkenal, Jeff Bezos dan pengasas Facebook, Mark Zuckerberg yang turut hadir ke majlis pelantikan Trump dahulu, masing-masing menyaksikan kekayaan mereka menyusut AS$45.2 bilion (RM202 bilion) dan AS$28.1 bilion (RM125 bilion) akibat kesan ekonomi global yang tidak menentu.
Musk yang sebelum ini lantang menyokong Trump, kini mempunyai pandangan berbeza dengan Trump, terutama berhubung tarif yang memberi kesan besar kepada Tesla.
Lebih AS$536 bilion (RM2 trilion) lesap daripada kekayaan kolektif 500 individu terkaya dunia, dengan kerugian pada Jumaat lalu mencecah AS$32.9 bilion (RM147 bilion).