LONDON: Pakar keselamatan memberi amaran kepada penduduk Britain supaya menyediakan ‘kit survival’ selama 72 jam berikutan kebimbangan Russia merancang sabotaj rangkaian tenaga negara itu.
Ketika Britain berusaha mencapai sasaran ‘Net Zero’, negara itu semakin bergantung pada bekalan gas dan elektrik dari luar negara untuk memastikan bekalan tenaga tidak terputus.
Hampir 40 peratus bekalan gas Britain diimport dari Norway, sebahagian besarnya melalui paip Langeled sepanjang 700 batu (1,126 kilometer). Kebimbangan meningkat selepas kapal pengintip Rusia, Yantar, dikesan memetakan infrastruktur bawah laut Britain di Laut Utara.
Laporan menyatakan Britain hampir mengalami gangguan bekalan elektrik musim sejuk lalu yang hanya dielakkan dengan simpanan kecemasan dan bekalan dari Denmark.
Pakar keselamatan menyarankan rakyat Britain mengikut contoh Kesatuan Eropah (EU) yang menasihati warganya menyediakan kit survival tiga hari.
Kit tersebut perlu mengandungi bekalan air, makanan tahan lama, ubat-ubatan, radio berkuasa bateri, lampu suluh, dokumen pengenalan, dan pisau pelbagai fungsi.
Kebimbangan ini timbul selepas Presiden Russia, Vladimir Putin dikaitkan dengan beberapa insiden sabotaj di Laut Baltik sejak dua tahun lalu, termasuk paip gas Nord Stream Jerman pada 2022.
Russia juga dipercayai memasang alat pendengar di turbin angin luar pantai Britain untuk mengesan pergerakan kapal selam negara itu.
Sumber memberitahu bahawa pihaknya mengetahui Russia aktif di Laut Utara dan berupaya melumpuhkan bekalan tenaga negara tersebut.
Ahli Parlimen bimbang dasar ‘Net Zero’ Menteri Tenaga, Ed Miliband menjadikan Britain lebih terdedah kepada ancaman Russia susulan hasratnya menjadikan Britain ‘kuasa besar tenaga bersih’ dengan mengurangkan penggunaan bahan api fosil kepada lima peratus menjelang 2030.
Stesen janakuasa arang batu terakhir Britain di Ratcliffe-on-Soar ditutup September lalu, manakala beberapa loji nuklear juga dijangka ditutup dalam beberapa tahun akan datang sekaligus meningkatkan kebergantungan pada tenaga angin dan solar yang tidak stabil.
Bekalan elektrik Britain kini disokong oleh beberapa kapal yang membawa gas asli cecair dari Qatar atau Amerika Syarikat.