BRASILIA: Upacara pengebumian yang sepatutnya menjadi majlis penuh hiba bertukar menjadi medan balas dendam apabila sekumpulan mafia di Trairi, utara Brazil bertindak kejam membakar keranda yang mengandungi mayat rakan sejenayah mereka sendiri.
Insiden ngeri itu berlaku pada Selasa lalu, ketika keluarga dan kenalan mangsa sedang berkumpul bagi memberi penghormatan terakhir.
Mangsa yang terbunuh sehari sebelumnya merupakan antara tiga anggota kumpulan penjenayah yang maut selepas berbalas tembakan dengan pihak polis.
Menurut polis, lelaki berkenaan terlibat dalam cubaan menyerang geng musuh bersama kira-kira 10 rakan sejenayahnya, namun diserang hendap oleh pihak berkuasa sebelum sempat bertindak.
Dalam usaha melarikan diri, kumpulan itu dikatakan melepaskan tembakan ke arah polis, menyebabkan anggota keselamatan membalas tembakan dan membunuh tiga daripada mereka.
Bagaimanapun, suasana pilu bertukar kecoh apabila empat anggota geng lawan menyerbu ke lokasi pengebumian dan didakwa mengugut para hadirin sebelum bertindak membakar keranda si mati sebagai tindakan balas dendam.
Seorang daripada suspek, remaja lelaki berusia 18 tahun, mengalami kecederaan terbakar di wajah ketika memulakan kebakaran dan telah dikejarkan ke hospital.
Susulan kejadian, pihak polis menahan remaja tersebut bersama tiga lagi rakan subahat.
Buat masa ini, hanya remaja itu telah didakwa atas kesalahan membakar keranda, melakukan pembakaran jenayah, penglibatan dalam jenayah terancang dan merosakkan akhlak kanak-kanak. -AGENSI