FOSHAN: Seorang lelaki China telah diusir dari rumah sewa sebanyak dua kali tahun ini kerana menjadikan seekor anak kerbau sebagai haiwan peliharaannya.
Chen, 30, seorang bekas peninju yang kini bekerja sebagai jurulatih kecergasan sambilan di Foshan, wilayah Guangdong, China, menjadi tumpuan ramai selepas video dan gambar anak kerbau peliharaannya tular dalam media sosial.
Pada Januari lalu, Chen membeli anak kerbau sebagai haiwan peliharaan. Pada mulanya, dia bercadang untuk memelihara anjing, namun akhirnya lebih tertarik dengan idea memelihara kerbau.
Menurutnya, haiwan itu mengingatkannya untuk bekerja keras mencapai matlamat hidup, tetapi dalam masa sama perlu berhati-hati agar tidak menjadi hamba kerja.
Pilihan unik Chen ini telah menyebabkan dua tuan rumah mengusirnya. Namun, dia tetap enggan berpisah dengan ‘Bull Demon King’ (Raja Iblis Lembu) nama yang diberikannya pada kerbau itu dan kini sedang mencari rumah sewa baharu.
Dalam video yang tular, bekas peninju itu dilihat membersihkan, memberi makan, mengenakan pakaian, serta membawa anak kerbau berusia empat bulan itu berjalan-jalan. Namun, beberapa pengguna media sosial mengkritik Chen, mendakwa dia hanya menggunakan haiwan itu untuk menarik perhatian.
Chen membidas kritikan tersebut dengan menyatakan dia benar-benar menyayangi haiwan peliharaannya.
“Tiada orang waras sanggup diusir dua kali hanya untuk populariti,” katanya.
Ditanya sama ada kerbau itu membuat bising, Chen menjelaskan ‘Bull Demon King’ mempunyai sikap tenang dan hanya gelisah ketika lapar.
Dia mengakui bahagian paling sukar memelihara kerbau di bandar ialah perlu membersihkan najisnya dengan kerap. Namun, dia tetap melakukannya dengan membersih dan menyahkuman rumahnya sebaik mungkin.
Walaupun baru diusir buat kali kedua dalam tempoh tiga bulan, Chen bertekad untuk terus memelihara anak kerbau itu.