BEIJING: Ibu negara China lengang sejak semalam apabila angin kencang luar biasa melanda wilayah utara China, memaksa penutupan beberapa lokasi bersejarah dan menjejaskan pergerakan orang ramai serta penerbangan.
Tiupan angin kuat yang berpunca daripada pusaran udara sejuk dari Mongolia menyebabkan suhu merosot lebih 12 darjah Celsius, selain mengakibatkan tingkap bangunan bergegar dan pokok tumbang ke atas laluan pejalan kaki serta kenderaan.
Angin yang mula melanda sejak Jumaat dijangka berterusan sepanjang hujung minggu, dengan kelajuan mencecah 150 kilometer sejam, menurut agensi berita rasmi Xinhua.
Keadaan itu turut membawa salji di Wilayah Autonomi Inner Mongolia serta hujan batu di selatan China.
Buat kali pertama dalam sedekad, Beijing mengeluarkan amaran angin kencang tahap kedua tertinggi, selain menasihatkan 22 juta penduduknya supaya mengelakkan sebarang perjalanan yang tidak penting.
Amaran itu dikeluarkan susulan ramalan bahawa kelajuan angin kali ini boleh mencatat rekod baharu bagi bulan April sejak tahun 1951.
Sehingga pukul 11.30 pagi semalam, sebanyak 838 penerbangan dibatalkan di dua lapangan terbang utama di ibu negara China, menurut aplikasi penjejak penerbangan, Flight Master.
Beberapa lokasi bersejarah dan taman awam turut ditutup, manakala pokok-pokok tua dipangkas sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi cuaca melampau.
Angin kuat itu turut menyebabkan acara separuh maraton yang dijadual berlangsung hari ini terpaksa ditangguhkan. Acara berkenaan dijangka menampilkan pertandingan antara robot humanoid dan manusia sebagai simbol kemajuan teknologi China.
Sementara itu, ribut pasir dari Inner Mongolia hingga ke kawasan Lembah Sungai Yangtze menjejaskan pergerakan jalan raya di lapan wilayah, menurut laporan Xinhua dan penyiar rasmi, CCTV.