Bangladesh gunakan semula frasa ‘kecuali Israel’ pada pasport

Bangladesh gunakan semula frasa ‘kecuali Israel’ pada pasport

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DHAKA: Bangladesh mengembalikan inskripsi ‘kecuali Israel’ pada pasport, sekaligus menghalang rakyatnya daripada melawat negara haram tersebut, lapor media tempatan semalam.

Israel merupakan isu sensitif di Bangladesh yang majoriti penduduknya beragama Islam, dan negara itu tidak mengiktiraf kewujudan Israel.

Frasa ‘sah untuk semua negara kecuali Israel’ yang sebelum ini dicetak pada pasport Bangladesh selama beberapa dekad telah dikeluarkan pada tahun-tahun terakhir pentadbiran bekas perdana menteri Sheikh Hasina sebelum beliau digulingkan.

Timbalan setiausaha di kementerian dalam negeri Nilima Afroze memberitahu agensi berita Bangladesh Sangbad Sangstha (BSS) semalam bahawa pihak berkuasa telah mengeluarkan arahan minggu lalu untuk menggunakan semula inskripsi tersebut.

“Pengarah jabatan imigre­sen dan pasport sudah diminta mengambil langkah sewajar­nya untuk melaksanakan perubahan ini,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan The Daily Star pada Ahad.

Pada 2021, frasa ‘kecuali Israel’ telah dikeluarkan daripada pasport, walaupun kerajaan Hasina pada masa itu menegaskan bahawa pendirian negara terhadap Israel tidak berubah.

Sokongan Bangladesh terhadap Palestin yang merdeka jelas kelihatan pada Sabtu lalu apabila lebih sejuta orang berkumpul di Dhaka sebagai tanda solidariti dengan Gaza.

Perang Gaza tercetus selepas serangan Hamas ke atas Israel pada Oktober 2023 yang mengakibatkan kematian 1,218 orang, kebanyakannya rakyat awam, menurut kiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.

Gencatan senjata rapuh antara kedua-dua pihak berakhir bulan lepas dan kementerian kesihatan Gaza melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 1,574 rakyat Pa­lestin terbunuh sejak itu, menjadikan jumlah kematian sejak perang bermula kepada 50,944 orang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya