COLORADO: Seorang banduan berprofil tinggi yang pernah merompak bank dan membunuh rakan selnya kini berdepan hukuman mati selepas didakwa mencekik seorang lagi banduan hingga mati menggunakan kain cadar di penjara dengan keselamatan paling ketat di Amerika Syarikat (AS).
Ishmael Petty, 56, bakal dibicarakan bagi tuduhan membunuh pengedar kokain, LaMarcus Hillard, 40, pada 19 September 2020, di Penjara Supermax ADX Florence, Colorado, sebuah penjara yang digelar paling selamat di dunia dan menempatkan penjenayah paling kejam di Amerika.
Apa yang mengejutkan, Hillard dilaporkan mati akibat dicekik menggunakan kain cadar yang dipintal, walaupun berada dalam sel asing yang terpisah daripada Petty dan mangsa turut ditemui dalam keadaan kaki dan tangan diikat serta kepala ditutup dengan plastik.
Menurut laporan bedah siasat, kain tersebut telah disalurkan melalui lubang kecil di pintu sel yang biasanya digunakan untuk menyerahkan makanan, menjadikan insiden ini sebagai misteri besar memandangkan tahanan di penjara berkenaan hanya dibenarkan keluar selama satu jam sehari untuk bersenam secara bersendirian.
Kes berkenaan hanya diketahui umum selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mengumumkan hasrat untuk menjatuhkan hukuman mati ke atas Petty.
Petty sebelum ini dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas membunuh rakan selnya di Penjara Persekutuan Pollock, Louisiana, pada tahun 2002 disamping pernah cuba membunuh dua kakitangan perpustakaan penjara pada tahun 2013 selepas menyerang mereka dengan senjata tajam buatan sendiri dan menyimbah sos cili ke mata salah seorang mangsa.
Dalam insiden tersebut, Petty mencipta baju kalis peluru menggunakan kotak kadbod dan menyembunyikan dirinya di sebalik pintu selepas mengatur jebakan serta turut meletakkan cebisan kertas di atas katil untuk menyamar seolah-olah sedang tidur.
ADX Florence yang terletak 100 batu dari Denver, Colorado, mula beroperasi pada 1994 dengan kos pembinaan mencecah AS$60 juta (RM 265 juta) menempatkan 300 tahanan termasuk penjenayah berprofil tinggi seperti ketua kartel dadah, Joaquin ‘El Chapo’ Guzman, pengebom kasut Richard Reid, pengebom Boston Dzhokhar Tsarnaev, serta konspirator 9/11, Zacarias Moussaoui.
Banduan di situ dikurung 23 jam sehari dalam sel konkrit berukuran 7 kaki x 12 kaki tanpa tingkap dan hanya dibenarkan bersenam selama sejam dalam sangkar kecil yang dikelilingi kawat berduri serta menara kawalan.
Walaupun dikelilingi keselamatan paling ketat, kejadian pembunuhan ini sekali lagi membangkitkan persoalan besar tentang keselamatan dan kawalan di penjara paling ketat di dunia. –AGENSI