NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) menamatkan bantuan makanan kecemasan kepada 14 buah negara, sekali gus mengancam kehidupan berjuta-juta penduduk dunia yang berdepan kebuluran dan kelaparan melampau, menurut kenyataan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Program Makanan Sedunia (WFP), semalam.
Menurut WFP, keputusan itu dibuat ketika agensi tersebut sendiri bergelut dengan pengurangan dana sebanyak 40 peratus untuk tahun ini.
Menerusi kenyataan ringkas di platform X, WFP tidak menamakan negara-negara yang terlibat, namun memberi amaran tindakan AS itu boleh disamakan dengan hukuman mati bagi golongan yang bergantung kepada bantuan makanan untuk terus hidup.
“Jika keputusan ini dilaksanakan sepenuhnya, ia boleh menjadi hukuman mati bagi jutaan manusia yang kini berada dalam keadaan kebuluran ekstrem,” tegas kenyataan itu.
WFP bukan satu-satunya badan bawah PBB yang menjadi mangsa pemotongan peruntukan Washington.
Dalam satu lagi perkembangan, Dana Penduduk PBB (UNFPA) turut memaklumkan Washington sudah menghentikan dua program utama yang dijalankan oleh agensi tersebut, masing-masing di
Afghanistan dan Syria yang bertujuan mempromosi kesihatan seksual dan reproduktif.
Langkah ini menambahkan lagi kebimbangan dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi antarabangsa yang kini berhadapan dengan kekangan kewangan serius.