Angkasawan tertua AS pulang ke bumi pada hari jadi ke-70

Angkasawan tertua AS pulang ke bumi pada hari jadi ke-70

DON PETTIT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ASTANA: Angkasawan Amerika Syarikat (AS) paling tua yang masih bertugas, Don Pettit, selamat kembali ke bumi tepat pada ulang tahunnya yang ke-70 selepas menyelesaikan misi keempat di angkasa lepas.

Kapsul angkasa Soyuz MS-26 yang membawa Pettit bersama dua rakan sepasukannya dari Rusia, Alexey Ovchinin dan Ivan Vagner, mendarat dengan bantuan payung terjun di kawasan steppe Kazakhstan pada pukul 6.20 pagi waktu tempatan Ahad.

Menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan AS (NASA), ketiga-tiga angkasawan itu menghabiskan 220 hari di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), mengelilingi bumi sebanyak 3,520 kali sepanjang misi mereka.

Pettit mencatatkan jumlah keseluruhan 590 hari di angkasa, menjadikannya antara angkasawan AS paling berpengalaman.

Rekod sebagai individu tertua pernah mengorbit bumi masih dipegang oleh John Glenn, yang menyertai misi NASA pada usia 77 tahun pada tahun 1998 sebelum meninggal dunia pada 2016.

Ketiga-tiga angkasawan itu akan menjalani tempoh pemulihan bagi menyesuaikan diri semula dengan graviti bumi sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing.

Pettit dari Oregon dibawa ke Houston, Texas, manakala Ovchinin dan Vagner dihantar ke pusat latihan utama angkasa Rusia di Zvyozdniy Gorodok.

Mereka menyerahkan urusan pentadbiran ISS kepada angkasawan Jepun, Takuya Onishi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya