LONDON: Hubungan romantik dan jangka panjang antara manusia dan kecerdasan buatan (AI) kini bukan lagi fenomena asing, malah semakin diterima dalam kalangan masyarakat moden.
Namun, pakar psikologi memberi amaran perkembangan ini boleh membawa kesan negatif terhadap hubungan manusia sebenar dan mencetuskan risiko kesihatan mental serta eksploitasi data peribadi.
Laporan akademik yang diterbitkan dalam jurnal Trends in Cognitive Sciences oleh Cell Press mendedahkan terdapat individu yang ‘berkahwin’ dengan pasangan AI mereka dalam upacara simbolik, meskipun tidak sah di sisi undang-undang.
Malah, sekurang-kurangnya dua insiden bunuh diri telah direkodkan selepas mangsa dikatakan menerima nasihat berbahaya daripada chatbot AI.
Menurut penulis utama kajian tersebut, Profesor Daniel Shank dari Universiti Sains dan Teknologi Missouri, AI jenis “relational” (berperwatakan sosial dan intim) berpotensi mengganggu hubungan antara manusia kerana pengguna mula mempercayai dan meletakkan harapan kepada entiti digital ini seolah-olah ia manusia sebenar.
“Masalah utama timbul apabila manusia membawa jangkaan yang terbina dalam hubungan bersama AI ke dalam hubungan dengan pasangan sebenar. AI ini dirasakan memahami, mengambil berat, dan mampu memberi nasihat—walhal realitinya, mereka mungkin hanya memberitahu apa yang kita mahu dengar, bukan apa yang kita perlu dengar,” kata Profesor Shank.
Beliau memberi amaran AI yang direka untuk menjadi mesra, bersetuju dan menyenangkan boleh menjadi bahaya apabila ia gagal menilai keselamatan atau kebenaran sesuatu topik, termasuk isu bunuh diri atau teori konspirasi.
Fenomena ini turut dikaitkan dengan kisah Akihiko Kondo, seorang lelaki dari Tokyo, Jepun, yang mengadakan majlis perkahwinan bersama hologram watak fiksyen kegemarannya, Hatsune Miku, selepas mengalami kesukaran menjalin hubungan dengan wanita sebenar serta dibuli di tempat kerja.
Namun, selepas syarikat yang membangunkan perkhidmatan hologram itu menamatkan pengeluarannya, Kondo tidak lagi dapat ‘berkomunikasi’ dengan ‘isterinya’.
Beliau turut memberi amaran jika AI hubungan ini menjadi kebiasaan, ia berpotensi digunakan untuk mempengaruhi pandangan awam termasuk dalam soal politik dan pilihan raya, seiring dengan peranan bot sedia ada yang dilihat mampu mencetuskan perdebatan dalam platform media sosial.