TOKYO: Seorang ahli nujum terkenal dari Jepun, Ryo Tatsuki, yang digelar sebagai ‘Baba Vanga Jepun’, meramalkan satu bencana besar bakal melanda rantau Asia dalam tempoh tiga bulan akan datang, iaitu pada Julai ini.
Menurut Ryo, dia menerima satu visi menakutkan berhubung lautan yang kelihatan “mendidih”, menandakan berlakunya letusan gunung berapi dasar laut di pesisir pantai Jepun yang akan mencetuskan gelombang tsunami mega.
Tsunami tersebut, katanya, bakal meranapkan beberapa negara Asia, termasuk Taiwan dan Indonesia, dengan Kepulauan Mariana Utara diramalkan menjadi kawasan paling teruk terjejas.
Ryo turut menggambarkan bentuk zon impak tsunami itu sebagai “berbentuk berlian”, serta mendakwa melihat bayangan seakan-akan naga, yang dipercayai simbol kepada garis pantai lain yang turut terdedah kepada ancaman, termasuk Hawaii.
“Saya tidak dapat melupakan mimpi itu. Air laut bergelora, dan saya lihat bayang berbentuk naga di udara,” katanya dalam satu kenyataan yang mencetuskan panik dalam kalangan pengikutnya.
Apa yang menimbulkan lebih kebimbangan ialah, ramalan Ryo bukanlah sekadar andaian kosong kerana wanita itu, yang juga seorang pelukis manga, telah beberapa kali terbukti tepat dalam ramalannya sebelum ini.
Antara ramalannya yang pernah menjadi kenyataan termasuk Freddie Mercury meninggal dunia diramalkan pada 24 November 1976, dan tepat 15 tahun kemudian, vokalis Queen itu meninggal dunia pada tarikh yang sama pada tahun 1991, Puteri Diana maut dalam nahas kereta turut diramalkan Ryo sebelum tragedi itu berlaku, dan virus Covid-19 dalam catatan diari bertarikh 1995, Ryo meramalkan akan ada satu virus tidak dikenali akan muncul pada tahun 2020, memuncak pada April, kemudian hilang dan muncul kembali 10 tahun kemudian.
Lebih mengejutkan, ramalan tsunami mega di Jepun ini turut disokong oleh laporan saintifik.
Ini kerana, pakar geologi memberi amaran kemungkinan berlakunya gempa bumi besar di negara itu dalam tempoh 30 tahun akan datang adalah lebih daripada 80 peratus, dan lokasi yang disebut oleh Ryo bukan sesuatu yang mustahil dari sudut geologi.
Malah, kerajaan Jepun turut mengakui jika gempa berskala besar benar-benar berlaku, kerugian ekonomi dianggarkan melebihi 1 trilion pound (RM5.8 trilion), dengan angka korban berpotensi mencecah puluhan ribu nyawa.
Dalam keadaan rakyat Jepun masih dibayangi trauma tsunami 2011, ramalan Ryo ini menambah kebimbangan terhadap kesiapsiagaan negara itu menghadapi bencana baharu yang berpotensi bersifat serantau. —AGENSI