Ahli akademik terkemuka AS hadapi tuduhan hina Raja Thailand

Ahli akademik terkemuka AS hadapi tuduhan hina Raja Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Seorang ahli akademik terkemuka Amerika Syarikat (AS) yang bertugas di Thailand berdepan kemungkinan hukuman penjara 15 tahun selepas didakwa menghina institusi diraja negara itu.

Pensyarah di Universiti Naresuan di wilayah tengah Thailand, Paul Chambers dihadapkan ke mahkamah dalam kes luar biasa membabitkan warga asing yang didakwa melanggar undang-undang lese majeste yang sangat ketat di Thailand.

Beliau yang juga penulis analisis berkenaan politik serta ketenteraan negara itu, telah didakwa secara rasmi selepas menyerah diri kepada pihak polis pada Selasa dan kemudian dibawa ke mahkamah.

Thailand memiliki antara undang-undang lese majeste paling tegas di dunia, di mana mengkritik raja, permaisuri atau pewaris takhta boleh membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan.

Mana-mana individu boleh membuat aduan berhubung tindakan menghina raja dan mereka yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara, dengan ratusan pendakwaan direkodkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Peguam Chambers, Wannaphat Jenroumjit berkata, waran tangkap ke atas anak guamnya dikeluarkan minggu lalu selepas satu aduan dibuat oleh pihak komando tentera wilayah.

Selain tuduhan lese majeste, Chambers turut berdepan pertuduhan di bawah Akta Jenayah Komputer Thailand.

“Beliau dituduh menyiarkan satu ulasan ringkas di laman web Institut Kajian Asia Tenggara (ISEAS) Singapura berkaitan dengan webinar yang berlangsung pada Oktober 2024 mengenai rombakan ketenteraan. Beliau menafikan semua pertuduhan.

“Beliau tidak menulis mahupun menerbitkan ulasan tersebut di laman web,” kata Ketua Advokasi Lawyers for Human Rights Thailand yang juga sebahagian daripada pasukan guaman Chambers, Akarachai Chaimaneekarakate.

Bercakap kepada CNN sebelum hadir ke mahkamah pada Selasa, Chambers berkata, beliau tidak dimaklumkan dengan jelas mengapa beliau didakwa dan meluahkan kebimbangan boleh dipenjara selama 15 tahun.

Chambers kini ditahan selepas permohonan jaminannya ditolak.

Peguamnya telah mengemukakan permohonan jaminan baharu bagi mengelakkan beliau ditahan sebelum perbicaraan bermula.

Chambers ialah seorang sarjana, pengarang dan pensyarah di Pusat Pengajian Komuniti ASEAN Universiti Naresuan dan kerap memberikan pandangan serta analisis dalam laporan berita berkaitan Asia Tenggara, termasuk kepada CNN.

Pihak pembela hak asasi manusia menyatakan, pertuduhan terhadap Chambers menimbulkan ancaman serius terhadap kebebasan akademik di negara itu.

“Berbeza dengan kes lese majeste yang lain, kes ini melibatkan seorang ahli akademik yang sangat dihormati, malah kepakaran dalam hubungan sivil-tentera di Thailand diiktiraf secara meluas dalam kalangan komuniti akademik,” kata Akarachai.

Jabatan Negara AS pada Isnin memaklumkan, pihaknya amat prihatin dengan laporan mengenai penahanan Chambers dan sedang memberikan bantuan konsular kepadanya.

“AS amat menyokong kebebasan bersuara di seluruh dunia. Kami kerap menggesa pihak berkuasa Thailand, secara tertutup dan terbuka supaya melindungi kebebasan bersuara sejajar dengan komitmen antarabangsa Thailand,” kata jurucakap Jabatan Negara kepada CNN.

Tahun lalu, mahkamah rayuan Thailand melanjutkan hukuman penjara seorang lelaki kepada 50 tahun kerana menghina institusi diraja, dipercayai hukuman paling berat pernah dijatuhkan di bawah undang-undang lese majeste di negara itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya