TEL AVIV: Kira-kira 8,300 pekerja dalam bidang teknologi meninggalkan Israel sejak bermulanya perang di Semenanjung Gaza pada Oktober 2023, menurut data terbaharu yang dikeluarkan pada Rabu, lapor Anadolu.
Satu laporan oleh Israel Innovation Authority mendedahkan 8,300 pekerja teknologi telah keluar dari negara haram itu antara Oktober 2023 dan Julai 2024, mewakili 2.1 peratus daripada jumlah tenaga kerja dalam sektor teknologi di Israel.
Menurut laporan itu, industri teknologi tinggi Israel mengalami penurunan bilangan pekerja, dengan kira-kira 5,000 pekerja meninggalkan industri tersebut pada tahun 2024.
Ini merupakan kali pertama berlaku penurunan dalam tempoh sekurang-kurangnya satu dekad. Angka menunjukkan bahawa jumlah keseluruhan pekerja dalam teknologi tinggi di Israel merosot kepada 390,847 pada 2024, menurun 1.2 peratus berbanding 2023.
Lebih separuh daripada tenaga kerja di syarikat teknologi tinggi Israel kini berada di luar negara, dengan 440,000 pekerja berada di luar negara berbanding 400,000 di Israel, menurut laporan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Israel Innovation Authority, Dror Bin berkata, laporan tersebut menekankan keperluan pelaburan berterusan dalam industry yang merupakan enjin pertumbuhan utama ekonomi Israel.
Laporan media Israel sebelum ini menunjukkan ramai rakyat Israel telah meninggalkan negara itu selepas permulaan perang di Gaza dan kesannya terhadap ekonomi serta keselamatan di Israel.
Lebih daripada 50,800 rakyat Palestin telah terbunuh di Gaza dalam genosid Israel sejak Oktober 2023 dengan kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.