79 pengunjung maut insiden bumbung kelab malam runtuh

98 pengunjung maut insiden bumbung kelab malam runtuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANTO DOMINGO: Sekurang-kurangnya 98 orang terbunuh manakala lebih 200 lagi cedera apabila bumbung sebuah kelab malam ikonik di ibu negara Republik Dominican, runtuh awal pagi Selasa.

Insiden tragik itu berlaku di Kelab malam Jet Set berhampiran Santo Domingo ketika persembahan penyanyi merengue terkenal, Rubby Pérez bersama orkestra beliau sedang berlangsung sekitar pukul 1 pagi (waktu tempatan).

Menurut Pengarah Pusat Operasi Kecemasan, Juan Manuel Mendez, pasukan penyelamat masih meneruskan operasi mencari dan menyelamat mangsa di bawah runtuhan.

“Kami akan terus mencari tanpa mengenal penat demi menyelamatkan mangsa,” katanya dalam sidang media pada malam Selasa.

Lebih 300 pengunjung dipercayai berada di dalam premis berkenaan ketika tragedi berlaku dan Kementerian Kesihatan negara itu mengesahkan angka korban meningkat daripada 79 orang yang dilaporkan sebelum ini.

Antara yang disahkan terkorban ialah dua bekas pemain Liga Besbol Utama (MLB) dan Gabenor Wilayah Monte Cristi.

Pasukan penyelamat dari lebih 22 agensi kerajaan telah dikerah ke lokasi kejadian yang kini dipantau rapi bagi memastikan kelancaran operasi mencari dan menyelamat.

Presiden, Luis Abinader dan isteri turut melawat lokasi kejadian bagi menyampaikan ucapan takziah serta sokongan moral kepada keluarga mangsa.

“Kami amat dukacita dengan tragedi yang berlaku di Kelab Malam Jet Set. Semua agensi penyelamat telah dikerahkan dan bekerja tanpa henti bagi menyelamatkan mangsa. Doa kami sentiasa bersama keluarga yang terkesan,” kata Abinader menerusi hantaran di platform X.

Kerajaan telah mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari bermula hari ini sebagai tanda penghormatan kepada mangsa tragedi.

Rakaman udara yang disiarkan media tempatan menunjukkan lubang besar di tengah-tengah struktur bangunan kelab malam tersebut, dipercayai lokasi utama penonton berkumpul.

Kelab malam Jet Set merupakan antara lokasi hiburan paling popular di Republik Dominican dan terkenal dengan acara malam Isnin yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan peminat muzik merengue. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya