WASHINGTON: Pentadbiran Donald Trump menyenaraikan lebih 6,000 pendatang masih hidup ke dalam pangkalan data penerima Keselamatan Sosial yang sudah meninggal dunia, sekali gus memotong faedah dan keupayaan mereka untuk bekerja.
Tindakan menyenaraikan pendatang ke dalam ‘fail kematian’ dipercayai bertujuan memberi tekanan kepada mereka yang masuk ke Amerika Syarikat (AS) tanpa dokumen supaya meninggalkan negara, lapor Washington Post.
Dasar itu sejajar dengan usaha meluas Presiden Donald Trump untuk mengetatkan kawalan terhadap pendatang yang sebelum ini dibenarkan masuk serta tinggal sementara di AS menerusi program yang diperkenalkan oleh pendahulunya, Joe Biden.
Menurut dua individu yang mengetahui langkah tersebut, pentadbiran Trump sedang memindahkan nama dan nombor Keselamatan Sosial yang diperoleh secara sah oleh pendatang ke dalam pangkalan data, biasanya digunakan pegawai persekutuan untuk mengesan individu meninggal dunia.
Nombor Keselamatan Sosial (SSN) merupakan pengecam utama bagi individu di AS, digunakan untuk melaporkan pendapatan, mewujudkan kelayakan faedah serta pelbagai tujuan lain.
Ratusan ribu individu yang berada di AS secara haram dilaporkan memiliki Nombor Keselamatan Sosial.
Pegawai Rumah Putih berkata, individu yang disenaraikan mati dalam sistem Keselamatan Sosial akan disekat daripada mendapat pekerjaan, menyewa rumah, menggunakan perkhidmatan bank dan berurusan dengan agensi kerajaan persekutuan, sekali gus menghalang mereka mencari rezeki di negara itu.
Inisiatif menggunakan ‘fail kematian’ itu digerakkan oleh kakitangan dari Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) di bawah Elon Musk.
New York Times melaporkan kumpulan seramai 6,300 individu terdiri daripada penjenayah yang disabitkan kesalahan dan suspek pengganas dengan lebih ramai pendatang menjadi sasaran selepas ini.