JAKARTA: Sebanyak 28 bilionair Indonesia menduduki senarai orang paling kaya di dunia oleh Forbes dengan pemilik Bayan Resources, Low Tuck Kwong, kekal sebagai individu terkaya di negara ini dengan kekayaan bersih AS$26.7 bilion (RM117 bilion).
Namun, nilai kekayaan Tuck Kwong itu menunjukkan sedikit penurunan berbanding AS$27.3 bilion (RM120 bilion) yang dicatatkan dalam senarai Forbes pada 1 April lalu.
Walaupun kekayaannya menurun, lelaki berusia 76 tahun itu berjaya meningkatkan kedudukan globalnya iaitu naik dari tangga ke-72 pada awal April ke tangga ke-68 pada 17 April.
Sementara itu, taikun tembakau Indonesia, adik-beradik Hartono menduduki tempat kedua dan ketiga dalam senarai orang paling kaya di Indonesia.

R. Budi Hartono memiliki kekayaan AS$20.6 bilion (RM90.7 bilion), menduduki tangga ke-96 di peringkat global diikuti Michael Hartono dengan AS$19.8 bilion (RM87.05 bilion), berada di tangga ke-97 di seluruh dunia.
Di tempat keempat ialah Pengerusi Barito Pacific, Prajogo Pangestu dengan kekayaan bersih AS$16.8 bilion (RM73.86 bilion), sekaligus menduduki tangga ke-123 dalam senarai orang paling kaya dunia.
Mengisi tempat kelima ialah pengasas Indorama Corp, Sri Prakash Lohia yang memiliki kekayaan AS$8.3 bilion (RM36.49 bilion), meletakkannya di tangga ke-350 dalam senarai individu paling kaya di dunia.