236 cedera, 127 gempa susulan dikesan di Istanbul

236 cedera, 127 gempa susulan dikesan di Istanbul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Gempa bumi kuat dengan magnitud 6.2 yang melanda bandar Istanbul semalam mencederakan sekurang-kurangnya 236 orang, menurut kenyataan rasmi pihak berkuasa.

Pusat gempa bumi itu terletak di daerah Silivri, Istanbul, menurut Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD).

Gempa berlaku pada pukul 12.49 tengah hari (waktu tempatan) dan dirasai di seluruh Istanbul, yang mempunyai lebih 15 juta penduduk, serta wilayah-wilayah bersebelahan.

Gegaran itu menyebabkan penduduk bergegas keluar dari bangunan dalam keadaan ketakutan.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya, gempa itu berlaku pada kedalaman hampir tujuh kilometer dan berlangsung selama 13 saat.

Pejabat Gabenor menyatakan bahawa 236 orang cedera selepas terjun dari tempat tinggi akibat panik.

Kesemua mereka sedang dirawat di hospital dan tiada yang berada dalam keadaan mengancam nyawa.

“Sehingga pukul 5:55 petang (waktu tempatan), sebanyak 127 gegaran susulan telah direkodkan, dengan yang terbesar mencatat magnitud 5.9,” kata Yerlikaya dipetik Anadolu.

Menteri Alam Sekitar, Perbandaran dan Perubahan Iklim, Murat Kurum berkata, sebanyak 378 laporan kerosakan struktur diterima berdasarkan permintaan rasmi yang dihantar ke talian kecemasan 112 dengan sembilan buah rumah dikenal pasti perlu dikosongkan.

Sebuah bangunan tiga tingkat yang lama ditinggalkan di daerah Fatih turut runtuh, namun tiada kecederaan dilaporkan.

AFAD memaklumkan, hasil penilaian daripada laporan yang diterima melalui Pusat Panggilan Kecemasan 112 menunjukkan tiada laporan kematian atau kemusnahan besar setakat ini.

Agensi itu turut menyatakan semua agensi berkaitan dan pasukan respons telah digerakkan, dan kerja-kerja pemantauan lapangan sedang dijalankan bagi menilai kemungkinan kerosakan serta memastikan keselamatan orang awam.

Orang ramai turut diberi amaran agar tidak memasuki bangunan yang rosak atau disyaki rosak akibat gegaran, mengelak daripada menggunakan kenderaan kecuali dalam keadaan perlu dan mengehadkan penggunaan rangkaian mudah alih kepada situasi kecemasan sahaja.

Kementerian Pendidikan memaklumkan sekolah dan universiti yang sememangnya ditutup semalam sempena sambutan Hari Kedaulatan Negara, akan terus ditutup sehingga hujung minggu.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dalam kenyataannya berkata, beliau mengikuti perkembangan dengan teliti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya