KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mendakwa perisikan Ukraine telah mengenal pasti seramai 155 warga China kini berperang bersama tentera Russia, hanya sehari selepas dua warga China dilaporkan ditahan di negara itu, kelmarin.
Menurut Zelensky dalam satu taklimat media, warga China tersebut dipercayai direkrut melalui iklan yang disebarkan termasuk dalam media sosial, namun Beijing sebelum ini berulang kali menafikan sebarang penglibatan mereka.
Jurucakap Kementerian Luar Negeri China, Lin Jian, dalam satu sidang media pada hari yang sama menegaskan dakwaan ramai warga China terlibat dalam peperangan di Ukraine adalah tidak berasas.
“Kerajaan China sentiasa mengarahkan rakyatnya untuk menjauhi kawasan konflik bersenjata dan tidak terlibat dalam konflik dalam apa jua bentuk, khususnya penyertaan dalam operasi ketenteraan mana-mana pihak,” kata Lin.
CNN turut melaporkan telah melihat satu dokumen daripada agensi keselamatan Ukraine yang didakwa mengandungi senarai lebih 150 warga China yang pernah berkhidmat dalam angkatan tentera Russia dengan kebanyakannya memegang jawatan ketenteraan paling rendah.
Dokumen itu menunjukkan kontrak bertarikh tahun 2024 dan membabitkan pelbagai unit tentera. Senarai itu bagaimanapun belum dapat disahkan secara bebas oleh CNN.
“Kami sedang mengumpul lebih banyak maklumat dan percaya jumlahnya lebih ramai,” kata Zelensky.
Ketika ditanya sama ada kehadiran warga China di Ukraine adalah atas dasar rasmi Beijing, Zelensky berkata Perkhidmatan Keselamatan Ukraine sedang menyiasat perkara itu.
Sejak Russia melancarkan pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine pada 2022, terdapat laporan warga asing termasuk dari Britain dan Amerika Syarikat (AS) telah menyertai pasukan Ukraine secara sukarela, walaupun dinasihati kerajaan masing-masing supaya tidak berbuat demikian.
Tuduhan penglibatan warga China dalam tentera Russia muncul selepas Ukraine mendakwa menahan dua warga China yang sedang berkhidmat dalam tentera Russia di wilayah timur negara itu.
Jurucakap Kremlin enggan memberikan sebarang komen mengenai dakwaan penahanan warga China itu, manakala Beijing berkata ia sedang mengambil langkah untuk mengesahkan maklumat tersebut dengan Ukraine.