BAITULMUQADDIS: Israel akan terus menyerang kumpulan pejuang Hamas di Semenanjung Gaza bagi mendesak mereka membebaskan semua tebusan, menurut penasihat kanan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.
Ketika ini, negara-negara Eropah menggesa supaya gencatan senjata dilaksanakan segera dan Israel menghentikan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Penasihat kanan Netanyahu, Ophir Falk berkata, mereka yakin pendekatan itu mampu menundukkan Hamas apabila kumpulan pejuang itu bersetuju melaksanakan gencatan senjata pertama pada November 2023, selain membebaskan 80 tebusan.
Sehubungan itu, beliau yakin kali ini Hamas juga akan mengikut telunjuk Israel dan membebaskan baki tebusan.
Selepas beberapa minggu yang ‘tenang dan stabil’ di Gaza, pelaksanaan gencatan senjata lanjutan gagal dimeterai menyaksikan Zionis terus melancarkan serangan udara besar-besaran di Gaza, menyebabkan lebih banyak kematian.
Falk dalam pada itu enggan mengulas mengenai rundingan mengenai gencatan senjata namun memberitahu, Israel sudah menerima usul dari Amerika Syarikat (AS) untuk melanjutkan gencatan senjata sehingga selepas Ramadan dan perayaan orang Yahudi.
Hamas pula menuduh Israel memungkiri janji kerana enggan memulakan rundingan bagi mengakhiri perang yang tercetus dan mengeluarkan semua tenteranya dari Gaza.
Pihak berkuasa kesihatan Palestin menyatakan ratusan maut dalam serangan udara Israel baru-baru ini dengan sekurang-kurangnya 130 terbunuh dan 263 cedera dalam tempoh 48 jam lalu.
Serangan darat dari Zionis juga menyaksikan negara-negara Arab ‘hanya mampu mendesak gencatan senjata’ tanpa sebarang usaha lain.
Israel menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza dengan Falk menyatakan tindakan itu diambil kerana mendakwa ia digunakan oleh Hamas dan tidak diedarkan kepada rakyat Gaza. – REUTERS