WHO siasat punca penyakit misteri landa Congo - Utusan Malaysia

WHO siasat punca penyakit misteri landa Congo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KINSHASA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memulakan siasatan bagi mengenal pasti punca wabak penyakit misteri yang kini mencatatkan ribuan kes di barat laut Congo.

Menurut WHO, meskipun masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan, kemungkinan keracunan sumber air sedang disiasat berikutan 60 kematian yang dilaporkan di wilayah itu sejak wabak tersebut mula dikesan awal Januari lalu.

Meskipun ratusan pesakit didapati positif malaria, ramai dalam kalangan mereka turut mengalami gejala luar biasa seperti leher kaku, pendarahan hidung, muntah dan cirit-birit.

Pegawai dari WHO Afrika mendedahkan, wabak itu dipercayai bermula selepas beberapa orang kanak-kanak memakan kelawar dan meninggal dunia dalam tempoh 48 jam.

Sebelum meninggal dunia, mereka mengalami gejala demam berdarah yang menyerupai simptom virus Ebola atau Marburg.

Ketua Kecemasan WHO, Dr. Michael Ryan memaklumkan terdapat “tahap kecurigaan yang sangat tinggi” sumber air di salah sebuah kampung yang terjejas mungkin telah tercemar.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan nama kampung tersebut dan tidak mengulas sama ada pencemaran itu berlaku secara tidak sengaja, cuai atau disengajakan.

Krisis itu dipercayai bermula di Kampung Boloko di barat laut Congo, namun Kampung Bomate menjadi kawasan paling teruk terjejas dengan mencatatkan 98 peratus daripada keseluruhan kes dan 86 peratus daripada jumlah kematian.

Kesukaran pasukan perubatan untuk mengakses kawasan pedalaman itu menyebabkan ramai pesakit meninggal dunia sebelum sempat menerima rawatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya