CAROLINA UTARA: Seekor llama bernama Whitetop dinobatkan sebagai llama tertua di dunia pada usia 27 tahun dan 250 hari, namun usianya yang lanjut tidak menghalangnya daripada terus menceriakan orang ramai di tempat kerjanya.
Whitetop, dikenali kerana sifatnya yang manja dan gemar bergambar swafoto, berjaya merampas gelaran tersebut daripada pesaingnya, Dalai Llama yang sebelum ini memegang rekod berkenaan.
Dalai Llama, yang tinggal di sebuah ladang di Albuquerque, New Mexico, meninggal dunia pada 17 Ogos 2023, beberapa bulan selepas menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-27.
Seperti nama pesaingnya yang mengambil inspirasi daripada pemimpin Buddha terkenal, Whitetop menghabiskan hari-harinya membawa kegembiraan kepada kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik di kem Victory Junction sejak disumbangkan ke kem berkenaan pada tahun 2006.
Kem Victory Junction terletak di Carolina Utara berkeluasan 84 ekar dan beroperasi sepanjang tahun itu menyediakan kemudahan kepada kanak-kanak yang menghidap pelbagai penyakit termasuk penyakit jantung, buah pinggang, palsi serebrum, spina bifida, kanser serta beberapa lagi masalah neurologi dan fizikal.
Menurut Pengarah Reban Victory Junction, Billie Davis, kehadiran Whitetop membantu kanak-kanak di kem tersebut berasa lebih selesa dan berani untuk berinteraksi.
“Pada awalnya, ia mungkin kelihatan menakutkan, tetapi apabila mereka mendekatinya dan membelainya, mereka akan menyedari betapa manis dan mesranya Whitetop,” katanya.
Menurut Davis, Whitetop berjaya hidup lebih lama daripada purata jangka hayat seekor llama iaitu sekitar 15 tahun hasil penjagaan rapi, senaman yang konsisten, dan semangatnya yang tinggi terhadap tugasnya.
“Biasanya, llama hanya meludah apabila mereka berasa takut, tidak selesa, atau melindungi sesuatu. Namun, Whitetop sangat menyukai tugasnya sehingga ia tidak pernah melakukannya,” katanya.