SONGKHLA: Seorang wanita di Thailand kehilangan tangan kirinya selepas bajunya tersangkut pada roda motosikal dalam satu kejadian tragis di wilayah selatan Songkhla, pada hujung minggu lalu.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengenai insiden tersebut tular dalam media sosial Thailand sebaik kejadian berlaku pada Sabtu lalu menunjukkan mangsa, Sudarat ‘Taeng’ Waranakhon, 55, membonceng motosikal yang ditunggang oleh saudara lelakinya.
Ketika motosikal sedang bergerak, hujung baju Taeng dilihat berkibar sebelum tiba-tiba tersangkut pada roda belakang kenderaan itu, menyebabkan dia terjatuh dengan kuat ke atas jalan raya.
Saksi kejadian memberitahu agensi berita Hatya Focus, Taeng menjerit kesakitan, menyebabkan penunggang motosikal itu segera memberhentikan kenderaan untuk membantunya bagaimanapun, keadaan Taeng amat menyayat hati apabila tangan dan pergelangannya terputus serta tersekat pada roda belakang.
Tubuhnya berlumuran darah, mendorong orang ramai segera menghubungi pasukan penyelamat.
Pasukan perubatan yang tiba di lokasi memberikan rawatan awal sebelum membawa mangsa ke Hospital Hat Yai namun, menurut laporan media, doktor tidak dapat menyambungkan semula tangan yang terputus kerana ia telah hancur akibat insiden tersebut.
Keadaan Taeng kini stabil tetapi dia masih menerima rawatan lanjut di hospital dan walaupun beliau menerima kehilangan itu dengan tenang, Taeng meluahkan kebimbangan mengenai kos rawatan yang perlu ditanggungnya.
Menurutnya, dia bergantung kepada hasil menjual barang kitar semula untuk menyara hidup dan bimbang jika perbelanjaan perubatan melebihi bantuan kebajikan yang disediakan kerajaan.
Insiden seperti ini bukan kali pertama berlaku di Thailand kerana pada September tahun lalu, seorang kanak-kanak lelaki mengalami kecederaan selepas baju hujan longgarnya tersangkut pada roda motosikal dalam keadaan hujan lebat. – AGENSI