INDIANA: Seorang wanita obes seberat 152 kilogram dihukum penjara enam tahun selepas didapati bersalah menyebabkan kematian anak angkatnya dengan cara menghempap kanak-kanak itu.
Kanak-kanak lelaki tersebut, Dakota Levi Stevens yang berusia 10 tahun ketika kejadian dihempap ibu angkatnya, Jennifer Lee Wilson, 48, kerana dikatakan bersikap nakal.
Wanita itu didakwa bagi kesalahan pembunuhan secara tidak sengaja selepas kematian Stevens yang membawa hukuman penjara enam tahun dengan setahun tempoh percubaan, menurut laporan WMAQ.
Pada 25 April 2024, polis dipanggil ke sebuah rumah di Valparaiso, Indiana setelah menerima panggilan mengenai seorang kanak-kanak lelaki yang tidak bernafas.
Seorang pegawai polis yang tiba di lokasi kejadian menemukan lebam di bahagian leher bawah dan dada kanak-kanak tersebut dan memberikan bantuan pernfasan sebelum dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia.
Wilson memberitahu polis Stevens melarikan diri dari rumah baru-baru ini sebelum menjumpainya di rumah jiran dan membawanya pulang.
Wanita itu mendakwa Stevens enggan pulang ke rumah dan dia menolak kanak-kanak itu ke tanah serta tidak pasti bagaimana dia boleh menghempap anak angkatnya.
Wilson mengakui dia duduk di bahagian tengah badan Stevens selama lima minit dan apabila anak angkatnya berhenti bergerak, dia menyangka kanak-kanak itu berpura-pura sebelum membalikkan badan Stevens serta mendapati kelopak matanya pucat dan terus melakukan bantuan pernfasan.
Hasil bedah siasat menunjukkan anak-kanak itu mengalami kerosakan organ dan tisu lembut, serta pendarahan pada hati dan paru-paru yang menyebabkan kematiannya.