BANGKOK: Lapangan Terbang Suvarnabhumi mengambil langkah kawalan penyakit yang lebih ketat dengan menyaring pelancong yang tiba dari negara berisiko tinggi berikutan laporan wabak demam misteri di Congo.
Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) Dr Panumas Yanwetsakul mengulas laporan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai wabak penyakit yang tidak dikenali di Congo.
Sehingga 19 Februari, data WHO menunjukkan wabak di kampung Boloko dan Bomate di Equateur mengakibatkan 955 kes dan 60 kematian, dengan kadar kematian sebanyak 6.3 peratus. Ujian makmal mengesahkan penyakit ini bukan berpunca dari virus Ebola atau Marburg.
Menurut Dr Panumas, setakat ini, tiada kes yang disyaki penyakit ini dikenalpasti di Thailand namun DDC telah meningkatkan langkah pengawasan, pencegahan, dan kawalan, termasuk protokol saringan yang lebih ketat di Lapangan Terbang Suvarnabhumi.
Antara langkah diambil termasuk pelancong yang tiba dari Congo perlu menjalani pemeriksaan suhu badan dan memberikan alamat serta nombor telefon mereka di Thailand, bersama butiran mengenai tarikh berlepas dari Congo.
Selain itu, pelancong yang berada di Congo dalam tempoh 21 hari mesti mengisi borang laporan kesihatan dan mematuhi garis panduan pada Kad Amaran Kesihatan yang dikeluarkan oleh pegawai kesihatan.
Mereka turut dinasihatkan memantau gejala awal seperti demam melebihi 38 darjah Celsius, sakit kepala, sakit tekak, sakit otot, keletihan, atau keletihan melampau, menurut laporan Bangkok Post.
“Jika gejala ini bertambah teruk, mereka mesti mendapatkan rawatan perubatan segera dan memaklumkan doktor mengenai sejarah perjalanan mereka untuk diagnosis dan rawatan bagi mencegah penularan penyakit,” nasihat Dr Panumas.