LONDON: Pasukan penyelamat pantai United Kingdom (UK) menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang anak kapal yang hilang selepas sebuah kapal kargo berlanggar dengan kapal tangki membawa bahan bakar jet tentera Amerika Syarikat (AS) di Laut Utara semalam.
HM Coastguard menyelamatkan 36 anak kapal dari kapal tangki Stena Immaculate dan kapal kontena Solong, dengan seorang mangsa dibawa ke hospital.
“Seorang anak kapal dari Solong masih belum ditemui. Selepas pencarian yang luas, malangnya mangsa tidak dijumpai dan pencarian telah ditamatkan,” kata Komander Bahagian HM Coastguard, Matthew Atkinson.
Imej menunjukkan kepulan asap hitam tebal dan api marak di lokasi kejadian, kira-kira 16 kilometer dari pantai timur England, menimbulkan kebimbangan terhadap pelbagai bahaya toksik.
“Kapal tangki Stena Immaculate berlabuh di pesisir Laut Utara dan telah dilanggar oleh kapal kontena Solong,” menurut kenyataan syarikat pengendali Crowley yang berpangkalan di AS.
Menurut jurucakap yang mengendalikan kapal awam untuk pengangkutan laut Jabatan Pertahanan AS, Stena Immaculate berada dalam tempoh pajakan jangka pendek dengan tentera AS.
Crowley berkata, perlanggaran itu telah merosakkan kapal tangki yang membawa bahan bakar jet A1 sebelum mencetuskan kebakaran dan tumpahan minyak.
Kapal itu membawa kira-kira 220,000 tong bahan bakar jet, manakala Solong membawa 15 kontena natrium sianida.
HM Coastguard melaporkan kedua-dua kapal masih terbakar 12 jam selepas pelanggaran.
Saintis Kanan Makmal Kajian Greenpeace Universiti Exeter, Paul Johnston berkata, pihaknya khuatir tentang pelbagai bahaya toksik yang boleh ditimbulkan oleh bahan kimia tersebut kepada hidupan mari di kawasan itu.
“Bahan bakar jet sudah memasuki perairan berhampiran kawasan pembiakan ikan lumba-lumba,” tambahnya.