WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menangguhkan beberapa tarif terhadap Kanada dan Mexico, menyebabkan Ottawa turut menghentikan gelombang sekatan balas yang dirancang.
Langkah itu memberi kelegaan kepada syarikat dan pengguna berikutan kejatuhan pasaran kewangan akibat tindakan tersebut.
Pasaran saham menjunam selepas tarif sehingga 25 peratus yang dikenakan Trump berkuat kuasa pada Selasa, dengan pakar ekonomi memberi amaran bahawa levi menyeluruh boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi AS dan meningkatkan inflasi.
Kelmarin, Trump menandatangani perintah untuk menangguhkan tarif baharu terhadap import dari Kanada dan Mexico yang dilindungi oleh Perjanjian Perdagangan Amerika Utara (USMCA), tetapi menafikan bahawa keputusannya berpunca daripada kejatuhan pasaran.
Penangguhan yang akan berlanjutan hingga 2 April ini memberikan kelegaan kepada industri automotif, di mana bahagian kenderaan sering melintasi sempadan Amerika Utara beberapa kali semasa proses pengeluaran.
Selepas perbincangan dengan tiga syarikat automotif utama AS, Stellantis, Ford, dan General Motors, Trump memutuskan untuk memberikan pengecualian tarif selama sebulan bagi kenderaan yang diimport melalui USMCA.
Pegawai Rumah Putih berkata, sekitar 62 peratus daripada import Kanada masih akan dikenakan tarif baharu, walaupun sebahagian besarnya melibatkan import tenaga yang hanya dikenakan kadar lebih rendah iaitu 10 peratus.
Sekitar separuh daripada import Mexico juga datang melalui USMCA.
“Keputusan terbaharu ini menjadikan keadaan lebih baik untuk pengeluar kereta AS,” kata Trump semalam.
Susulan keputusan itu, Menteri Kewangan Kanada, Dominic LeBlanc mengumumkan di laman X bahawa negaranya tidak akan meneruskan gelombang kedua tarif terhadap barangan AS bernilai AS$125 billion (RM553.47) sehingga 2 April ini sementara perbincangan untuk menghapuskan semua tarif diteruskan.
Trump menegaskan lebih banyak tarif baharu akan dikenakan pada 2 April ini dan bersifat timbal balik, selaras dengan janjinya sebelum ini untuk mengenakan levi balas terhadap amalan perdagangan yang dianggap tidak adil oleh Washington.
Pada ketika itu, barangan dari Kanada dan Mexico masih boleh dikenakan tarif tambahan. – AFP