CIANJUR: Permintaan terhadap perkhidmatan penyewaan Iphone di Cianjur, Jawa Barat, meningkat mendadak menjelang sambutan Aidilfitri pada tahun ini.
Lonjakan ketara itu berlaku sepanjang Ramadan, terutamanya bagi merakam detik-detik istimewa seperti aktiviti berbuka puasa bersama dan kunjungan silaturahim.
Menurut Ahmad Toteles, 20, pengusaha sewaan Iphone di Cugenang, permintaan terhadap gajet premium itu meningkat sehingga dua kali ganda berbanding hari biasa.
“Ada pelanggan yang menyewa untuk sehari hingga seminggu, malah sudah penuh tempahan sehingga hari raya,” katanya.
Jelasnya, kebanyakan penyewa mahu menggunakan Iphone untuk mendapatkan kualiti foto yang lebih baik ketika bersama keluarga dan rakan-rakan namun Toteles tidak menafikan ada juga pelanggan yang menyewa telefon pintar itu semata-mata untuk bergaya atau menunjukkan status sosial mereka.
“Majoriti yang sewa adalah golongan muda, terutamanya Generasi Z dan remaja,” tambahnya.
Bagi memastikan keselamatan perkhidmatannya, Toteles menetapkan syarat ketat kepada penyewa, termasuk menyerahkan kad pengenalan asli, nombor telefon aktif, serta foto diri dan kenderaan sebagai jaminan.
Dari segi kadar sewaan, harga bergantung kepada model dan tempoh penggunaan di mana iPhone 11 disewakan pada kadar serendah 65,000 rupiah (RM19) bagi tempoh enam jam dan boleh mencecah 750,000 rupiah (RM222) untuk seminggu.
Toteles berkata, perniagaan yang dijalankannya itu bermula secara tidak sengaja apabila seorang rakan meminjam iPhone miliknya sebelum berminat untuk menyewa.
“Saya memang ada dua unit Iphone. Pada mulanya, seorang kawan mahu pinjam, kemudian dia cadangkan untuk menyewa. Dari situ, ramai lagi yang ikut serta dan akhirnya saya teruskan perniagaan ini,” jelasnya.