LONDON: Trend ibu bapa di seluruh dunia guna taktik pelik untuk membantu bayi mereka tidur lena dengan memberikan mentega mencetuskan kebimbangan pakar mengenai risiko yang boleh berlaku.
Trend yang bermula dari TikTok itu menunjukkan ibu bapa yang keletihan kerana tidak cukup tidur memberikan sesudu mentega kepada bayi sebelum menidurkan mereka malah ada yang mendakwa ia membantu anak mereka tidur lena sehingga pagi.
Walaupun segelintir menganggap ia helah keibubapaan yang bijak, pakar memberi amaran ia mungkin tidak memberikan kesan diharapkan malah boleh mendatangkan lebih banyak keburukan.
Trend itu mula popular di Amerika Syarikat (AS) dengan kebanyakan ibu bapa yang melakukannya mendakwa mereka dapat menikmati tidur lapan jam penuh kerana anak mereka tidur sepanjang malam.
Kini, trend berkenaan merebak ke United Kingdom UK) dan New Zealand dengan ramai ibu bapa berharap taktik itu dapat membantu mereka mendapatkan tidur berkualiti.
Seorang ibu, Millie menyiarkan beberapa klip di akaun media sosialnya @millieellis menunjukkan dia mencuba trend tersebut pada anak perempuannya, Ivy dan bayi itu dikatakan tidur lena sepanjang malam.
Paige Balloch (@baigepalloch), seorang ibu dari New Zealand turut mencuba trend tersebut dengan menjelaskan anaknya yang berusia 15 bulan tidak pernah tidur lena sepanjang malam dan dia sanggup mencuba apa sahaja.
Namun, dalam video susulan Paige mendedahkan taktik itu tidak berkesan untuk anak kecilnya, Margot, yang bangun tiga kali pada waktu malam.
Charlotte Stirling-Reed, seorang pakar pemakanan bayi terkemuka memberitahu The Independent, platform media sosial ‘penuh dengan maklumat salah’ dan mentega tidak disyorkan untuk bantu bayi tidur kerana boleh menyebabkan tercekik.
NHS pula menasihatkan ibu bapa adalah normal untuk bayi bangun malam untuk menyusu atau kerana lampin perlu ditukar sambil menambah, setiap bayi mempunyai corak tidur yang berbeza dan tidak wajar membandingkan dengan bayi lain.