OSLO: Umat Islam di seluruh dunia diwajibkan menunaikan ibadah puasa setiap tahun sepanjang bulan Ramadan dan sepanjang tempoh tersebut, mereka perlu menahan diri daripada makan, minum, dan mengawal emosi dari waktu Subuh sehingga terbenam matahari ketika masuknya waktu Maghrib.
Bagaimanapun, tempoh berpuasa di setiap negara berbeza-beza bergantung kepada panjang waktu siang dan malam.
Secara puratanya, umat Islam berpuasa selama 12 hingga 16 jam sehari namun, bagi mereka yang tinggal di kawasan ekstrem seperti Svalbard di Norway dan Yakutsk di Rusia, mereka menghadapi cabaran unik kerana perbezaan ketara dalam tempoh siang dan malam.
Svalbard merupakan antara kawasan berpenghuni paling utara di dunia di mana menurut laporan The Atlantic, sepanjang musim sejuk termasuk bulan Ramadan pada Mac dan April, matahari tidak terbit langsung, sehingga fenomena tersebut dikenali sebagai “malam kutub”.
Sebaliknya, ketika musim panas, matahari tidak pernah terbenam dan keadaan ini disebut sebagai “matahari tengah malam”.
Bagi memudahkan urusan berpuasa di Svalbard, umat Islam di sana biasanya mengikuti waktu solat di Mekah, Arab Saudi atau memilih mengikut jadual solat dari bandar terdekat yang mempunyai kitaran siang dan malam yang normal seperti ibu negara Norway, Oslo.
Situasi yang hampir serupa juga turut dialami umat Islam di Yakutsk, Rusia yang merupakan bandar paling sejuk di dunia tetapi mempunyai kitaran matahari yang lebih jelas berbanding Svalbard.
Sepanjang Ramadan pada musim bunga, waktu siang di Yakutsk boleh mencecah antara 14 hingga 16 jam namun, umat Islam di sana masih mampu menunaikan ibadah puasa mengikut waktu tempatan.
Sekiranya Ramadan jatuh pada musim panas, waktu siang boleh mencecah sehingga 20 jam, sehingga menyebabkan sebahagian umat Islam memilih untuk mengikuti waktu solat dari bandar besar lain seperti Moscow.
Umat Islam yang tinggal di kawasan ekstrem ini dibenarkan mengikut jadual solat dari bandar dengan kitaran siang dan malam yang normal berdasarkan fatwa yang dikeluarkan oleh ulama setempat untuk memastikan ibadah puasa dapat dilaksanakan secara wajar tanpa membahayakan kesihatan mereka.