BANGKOK: Thailand mengkaji cadangan untuk membina tembok di sebahagian sempadanannya dengan Kemboja bagi menghalang kemasukan pendatang tanpa izin.
Ini susulan usaha pelbagai negara membongkar rangkaian pusat penipuan haram yang semakin meluas di negara itu.
Operasi menentang pusat penipuan ini semakin diperhebat ekoran kegiatan penipuan kewangan berskala besar yang berpusat di Asia Tenggara, terutamanya di kawasan sempadan Thailand dengan Myanmar yang mudah dibolosi.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), beratus-ratus ribu orang menjadi mangsa perdagangan manusia oleh kumpulan jenayah dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut jurucakap kerajaan Thailand, Jirayu Houngsub, jika tembok itu dibina, ia akan mengkaji bagaimana pelaksanaan, hasil dan bagaimana dapat menyelesaikan masalah.
Bagaimanapun, kerajaan Kemboja belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung cadangan tersebut.
Thailand dan Kemboja berkongsi sempadan sepanjang 817 kilometer, yang mana Kementerian Pertahanan Thailand sebelum ini mencadangkan pembinaan tembok sepanjang 55 kilometer di laluan semula jadi antara wilayah Sa Kaeo, Thailand, dan Poipet, Kemboja, yang hanya dilindungi oleh kawat dawai berduri.
Cadangan pembinaan tembok ini dilihat sebagai langkah proaktif Thailand untuk mengukuhkan kawalan sempadan dan memerangi jenayah rentas sempadan yang semakin berleluasa.