BANGKOK: Thailand akan menghantar pulang 1,500 individu yang diselamatkan daripada sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar setiap minggu.
Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Nikorndej Balankura berkata, ribuan mangsa masih terkandas di kem sepanjang sempadan Thailand-Myanmar selepas diselamatkan.
Menurutnya, Thailand sudah mencapai persetujuan dengan Myanmar dan China bagi memudahkan proses penghantaran pulang itu.
Persetujuan tersebut dicapai susulan pertemuan antara Menteri Luar Thailand, Maris Sangiampongsa; Pembantu Menteri Keselamatan Awam China, Liu Zhongyi; dan Timbalan Menteri Hal Ehwal
Dalam Negeri Myanmar, Aung Kyaw Kyaw, baru-baru ini.
“Thailand merancang menghantar pulang 1,500 individu setiap minggu, atau 300 orang setiap hari bekerja, dengan penghantaran pulang rakyat China dijadualkan setiap Rabu, Khamis, dan Jumaat,” katanya.
Menurut Nikorndej, China dan Indonesia sudah pun membawa pulang sebahagian rakyat mereka dari Myawaddy dengan bantuan pihak berkuasa Thailand.
Nikorndej yang juga Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, berkata, ribuan individu dari negara Afrika yang tidak mempunyai wakil diplomatik di Thailand masih terkandas di sempadan.
“Bagi negara yang tidak mempunyai kedutaan di sini, Kementerian Luar Thailand telah menghubungi kedutaan atau berkomunikasi secara langsung dengan ibu negara masing-masing.
“Keputusan untuk menghantar pegawai dari kedutaan mereka di Thailand atau dari ibu negara bergantung kepada kerajaan masing-masing,” katanya.
Beliau turut menggesa negara yang akan membawa pulang rakyat mereka dari Myawaddy supaya menghantar pegawai ke sempadan Thailand-Myanmar bagi memudahkan proses saringan kesihatan dan pemeriksaan imigresen.
Bulan lalu, seramai 260 warga asing, termasuk 15 rakyat Malaysia, diselamatkan daripada sindiket pusat panggilan di Myawaddy, Myanmar. Mereka dibebaskan pihak berkuasa Myanmar sebelum dihantar ke Thailand untuk deportasi.