BAITULMUQADDIS: Tentera Israel semalam bertindak menceroboh Dewan Solat Qibli di Masjid Al-Aqsa, merampas pembesar suara sebelum berundur dari kawasan tersebut, lapor Pusat Media Palestin yang memetik sumber tempatan.
Pasukan penjajah turut menghalang penduduk Palestin dari Tebing Barat yang diduduki daripada memasuki Baitulmaqdis dan menunaikan solat di Masjid Al-Aqsa.
Hanya wanita Palestin berusia lebih 40 tahun dengan kad pengenalan Palestin dibenarkan memasuki bandar tersebut.
Masjid Al-Aqsa kini berdepan ancaman serius akibat penggalian yang berterusan dan projek yahudi atau ‘Judaization’ yang semakin dipercepatkan.
Cadangan terbaru yang dikemukakan oleh Ahli Knesset Israel, Amit Halevi, mencadangkan pembahagian masjid dan pengambilalihan lebih 70 peratus daripada kawasan tersebut.
Dalam masa yang sama, Israel meningkatkan kawalan ketenteraan di pintu masuk dan keluar bandar serta perkampungan Palestin.
Tindakan ini disusuli dengan serangan berterusan ke atas Jenin, Tulkarem dan kem pelarian di utara Tebing Barat sejak Januari lalu.
Tindakan agresif ini menimbulkan kebimbangan besar di kalangan umat Islam dan komuniti antarabangsa terhadap keselamatan serta status Masjid Al-Aqsa yang merupakan tempat suci ketiga bagi umat Islam di dunia. -AGENSI