Tentera Israel diserang kucing caracal ketika lakukan rondaan - Utusan Malaysia

Tentera Israel diserang kucing caracal ketika lakukan rondaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Seekor caracal, juga dikenali sebagai lynx padang pasir, dilaporkan menyerang tentera Israel di Gurun Naqab, Negev pada minggu lalu, lapor Israel National News.

Haiwan liar itu ditemui pada Selasa berhampiran Gunung Harif, berdekatan pangkalan tentera Israel yang terletak di sempadan Israel-Mesir.

Seorang pegawai dari Pihak Berkuasa Alam Semula Jadi dan Taman Israel menangkap caracal itu sebelum membawanya ke hospital hidupan liar bagi pemeriksaan kesihatan.

Dalam satu kenyataan, pihak berkuasa berkenaan memberi amaran kepada orang ramai agar tidak mendekati atau memberi makanan kerana ia boleh mengubah tingkah laku semula jadi mereka dan membawa risiko kepada manusia serta haiwan itu sendiri.

“Pihak Berkuasa Alam Semula Jadi dan Taman ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak mendekati atau memberi makanan kepada haiwan liar kerana ini boleh menyebabkan perubahan tingkah laku yang berbahaya kepada haiwan dan manusia,” menurut kenyataan itu.

Pihak berkuasa percaya tingkah laku luar biasa caracal itu mungkin berpunca daripada kedudukan pangkalan tentera yang membuatkannya biasa dengan kehadiran manusia, lalu mendekati tentera Israel dan menyerang mereka.

Insiden ini mencetuskan pelbagai reaksi dalam media sosial, termasuk komen sinis yang menggelar caracal itu sebagai “anggota Hamas,” merujuk kepada dakwaan Israel tentang ramai penduduk Gaza yang mempunyai kaitan dengan kumpulan berkenaan.

Sebilangan pengguna media sosial pula memuji tindakan haiwan itu yang menyerang tentera Israel, dengan menyifatkannya sebagai simbol penentangan terhadap serangan Israel ke atas Gaza yang mengorbankan lebih 50,000 rakyat Palestin dan memusnahkan seluruh kejiranan.

Ini bukan kali pertama mereka diserang oleh hidupan liar sebelum ini pada Mei tahun lalu, 12 askar Israel disengat tebuan selepas kereta kebal mereka melanggar sarang serangga itu di selatan Gaza.

Sekurang-kurangnya 10 askar terpaksa menerima rawatan, dengan seorang daripada mereka dimasukkan ke unit rawatan rapi akibat reaksi alahan teruk.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya