OTTAWA: Perjalanan udara antara Kanada dan Amerika Syarikat (AS) dilaporkan semakin merudum susulan perang tarif yang dicetuskan oleh Presiden AS, Donald Trump, dengan tempahan penerbangan antara kedua-dua negara tersebut merosot lebih 70 peratus.
Data yang dikeluarkan oleh firma analisis penerbangan, OAG menunjukkan kapasiti penerbangan antara Kanada dan AS telah dikurangkan sehingga Oktober 2025, dengan pemotongan terbesar berlaku antara bulan Julai dan Ogos yang merupakan musim perjalanan puncak.
Berdasarkan analisis tempahan dari Mac 2024 hingga Mac 2025, OAG mendapati jumlah tiket yang ditempah untuk penerbangan antara Kanada dan AS dalam tempoh enam bulan, iaitu dari April hingga September, turun sebanyak 71 hingga 76 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Kapasiti tempat duduk untuk penerbangan antara kedua-dua negara juga dikurangkan, berkemungkinan akibat permintaan yang semakin berkurangan di mana lebih 320,000 tempat duduk telah ditarik balik oleh syarikat penerbangan yang beroperasi antara Kanada dan AS sehingga hujung Oktober, dengan pemotongan tertinggi sebanyak 3.5 peratus berlaku pada musim panas.
Namun, penurunan mendadak dalam tempahan menunjukkan pemotongan kapasiti sedia ada masih belum mencerminkan sepenuhnya keengganan pelancong Kanada untuk ke AS.
Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, menyifatkan tarif terbaharu yang dikenakan Trump sebagai satu “serangan langsung” terhadap pekerja Kanada.
Walaupun penurunan perjalanan udara antara kedua-dua negara dijangka, namun susut sebanyak 70 peratus ini akan memberi impak besar kepada syarikat penerbangan seperti Air Canada, yang mempunyai rangkaian penerbangan rentas sempadan terbesar.
Rakyat Kanada turut bimbang mengenai perjalanan ke AS berikutan insiden pelancong asing ditahan imigresen.