Syarikat pemula cipta tin minuman boleh sejuk sendiri pertama di dunia - Utusan Malaysia

Syarikat pemula cipta tin minuman boleh sejuk sendiri pertama di dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Sebuah syarikat pemula berpangkalan di London telah mencipta teknologi tin minuman ‘menyejuk sendiri’ yang inovatif, satu penemuan yang mungkin akan menjadikan peti sejuk minuman tidak lagi diperlukan suatu hari nanti.

Syarikat Delta H Innovations mendakwa mencipta teknologi seumpamanya yang pertama di dunia menggabungkan reka bentuk pintar dengan prinsip kimia mudah untuk menghasilkan kesan penyejukan hanya dengan menekan satu butang.

Diberi nama ‘Cool Can’, syarikat itu mendakwa bahawa tin minuman itu mampu menurunkan suhu kandungan minuman di dalamnya kepada sekitar enam ke tujuh darjah celcius dan mengekalkan kesejukan tersebut sehingga 45 minit.

Secara luaran, Cool Can kelihatan seperti tin minuman aluminium biasa, kecuali butang besar bertanda “power” di bahagian bawahnya. Tapak tin ini berfungsi sebagai bekas air tersembunyi dan apabila butang ditekan, air akan mengalir ke ruang antara dinding aluminium berkembar tin tersebut.

Di antara dinding tin ini terdapat garam proprietari yang akan menghasilkan tindak balas kimia yang menyejukkan minuman di dalam dengan pantas apabila bersentuhan dengan air.

Menurut pengasas Delta H Innovations, James Vyse yang berasal dari Wales, proses penyejukan mengambil masa sehingga 10 minit bergantung pada suhu persekitaran namun, reka bentuk dinding berkembar membolehkan minuman itu kekal sejuk selama 45 minit.

Untuk memberitahu pengguna bahawa minuman sudah cukup sejuk, Cool Can dilengkapi dengan tanda simbol salji yang berubah warna dari putih ke biru apabila suhu tin telah mencapai tahap yang diinginkan.

Alex Pell dari Evening Standard berpeluang menguji Cool Can secara langsung dan mengesahkan bahawa ia benar-benar berfungsi seperti yang didakwa.

Selepas menekan butang di bahagian bawah tin dan membalikkannya untuk memastikan air bercampur dengan garam, tin yang sebelumnya suam mulai terasa sejuk apabila disentuh, malah kondensasi juga kelihatan di permukaan luarnya.

Walaupun beliau tidak mengukur suhu tepat minuman tersebut, Pell mengakui bahawa minuman itu memang menjadi sejuk.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya