Syarikat AS bakal hasilkan ‘kereta terbang’ di Arab Saudi - Utusan Malaysia

Syarikat AS bakal hasilkan ‘kereta terbang’ di Arab Saudi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Syarikat aeroangkasa dari Amerika Syarikat (AS), Doroni Aerospace mengumumkan kerjasama dengan Arab Saudi bagi membangunkan dan mengeluarkan H1-X, sebuah ‘kereta terbang’ yang direka untuk kegunaan peribadi.

Pesawat dua tempat duduk itu boleh diletakkan di garaj bersaiz dua kereta, dicas di rumah, dan berkeupayaan berlepas secara menegak dari jalan masuk kediaman.

Dalam satu kenyataan, Doroni Aerospace yang berpangkalan di Pompano Beach, Florida memaklumkan mereka menerima pelaburan strategik berjumlah AS$30 juta (RM142 juta) daripada Innovation Wings Industries (IWI) yang beroperasi di Arab Saudi sebagai Kingdom Aero Industries (KAI).

Menurut syarikat itu, pelaburan tersebut akan mempercepatkan pembangunan teknologi kenderaan elektrik berlepas dan mendarat secara menegak (eVTOL) H1-X, dengan sasaran melancarkan pesawat berkenaan menjelang akhir tahun 2026.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, Doroni dan KAI akan menubuhkan usaha sama (joint venture) bagi mengeluarkan H1-X di Arab Saudi bermula 2027, sekali gus memperluaskan pasaran global syarikat tersebut.

“Kami tidak sabar dengan masa depan yang menanti. Pelaburan ini mempercepatkan segala-galanya daripada pembangunan, pensijilan, pengeluaran hingga pengambilan tenaga pakar terbaik dalam bidang aeroangkasa bagi merealisasikan pelancaran H1-X menjelang akhir 2026,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Doroni Aerospace, Doron Merdinger.

Perjanjian itu juga menetapkan KAI akan memegang pegangan sebanyak 40 peratus dalam Doroni selepas pelaburan diselesaikan, tertakluk kepada pengumpulan modal pada masa hadapan.

Pelaburan AS$30 juta itu akan dilakukan secara berperingkat, dengan AS$5 juta (RM23.7 juta) dibayar sebaik sahaja perjanjian dimeterai dalam tempoh 30 hari, manakala baki AS$25 juta (RM118 juta) bergantung kepada pencapaian pembangunan utama dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pelaburan ini adalah sebahagian daripada usaha Arab Saudi untuk memajukan teknologi pengangkutan sebagai sokongan kepada inisiatif Vision 2030 yang bertujuan mempelbagaikan ekonomi negara daripada kebergantungan kepada hasil minyak semata-mata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya