SINGAPURA: Agensi Makanan Singapura (SFA) mengarahkan produk biskut Happy Family Oatmeal Cookies (200g) yang berasal dari Malaysia supaya ditarik balik kerana mengandungi bahan susu yang tidak diisytiharkan pada label pembungkusan makanan tersebut.
Memandangkan susu adalah bahan alahan, SFA sudah mengarahkan pengimport produk tersebut, C M M Marketing Management Pte Ltd supaya menarik balik produk itu.
SFA memaklumkan, proses menarik balik penjualan produk berkenaan giat dijalankan di pasar raya atau kedai yang terlibat.
Bahan alahan dalam makanan boleh mengakibatkan tindak balas alahan pada individu yang sensitif terhadapnya.
Susu tidak menimbulkan sebarang isu keselamatan makanan kepada para pengguna secara am, kecuali mereka yang mengalami alahan terhadap susu.
SFA menasihatkan pengguna yang telah membeli produk terjejas, dan mempunyai alahan kepada susu, agar tidak memakannya.