Singapura larang rakyat beli Kopi Penumbuk dari Malaysia

Singapura larang rakyat beli Kopi Penumbuk dari Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: ‘Kopi Penumbuk’ iaitu produk kopi dari Malaysia dikesan mengandungi Tadalafil, ubat terkawal yang digunakan untuk merawat disfungsi erektil dan hanya boleh diambil di bawah pengawasan perubatan, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA).

Agensi itu menasihatkan pengguna agar tidak membeli atau mengambil produk yang dipasarkan di platform e-dagang tempatan sebagai produk kopi dengan dakwaan mempunyai kesan peningkatan seksual bagi lelaki.

“SFA telah bekerjasama dengan pelbagai platform e-dagang dalam talian untuk mengeluarkan senarai produk ini dan mengeluarkan amaran kepada penjual agar menghentikan penjualan produk itu dengan serta-merta,” menurut agensi itu dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut SFA, penggunaan Tadalafil yang tidak wajar adalah berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kesan sampingan serius, termasuk serangan jantung, strok, sakit kepala, migrain, degupan jantung tidak teratur serta priapisme.

Ia juga boleh menimbulkan risiko serius kepada individu tertentu, terutamanya mereka yang mempunyai masalah berkaitan jantung.

“Ia boleh menyebabkan tekanan darah rendah yang boleh mengancam nyawa individu yang mengambil ubat jantung, terutama yang mengandungi nitrat,” menurut SFA.

Penjualan makanan yang tidak selamat tidak dibenarkan di bawah Seksyen 15 Akta Jualan Makanan Singapura.
Jika disabitkan kesalahan, individu boleh didenda tidak melebihi S$5,000 (S$1=RM3.30) dan dalam kes sabitan kedua atau seterusnya, denda tidak melebihi S$10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga bulan, atau kedua-duanya sekali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN