Sindiket penipuan dalam talian: 100,000 mangsa terperangkap di sempadan Thailand-Myanmar - Utusan Malaysia

Sindiket penipuan dalam talian: 100,000 mangsa terperangkap di sempadan Thailand-Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Sindiket penipuan dalam talian di sempadan Thailand-Myanmar masih beroperasi dengan kira-kira 100,000 mangsa masih terperangkap meskipun operasi besar-besaran dilaksanakan sejak beberapa minggu lalu.

Thailand kini giat memimpin usaha serantau bagi membanteras sindiket penipuan di sempadannya yang juga sebahagian daripada rangkaian fasiliti haram di Asia Tenggara, yang menjana pendapatan haram berbilion dolar setiap tahun.

Jeneral Polis Thailand, Thatchai Pitaneelaboot berkata, berdasarkan penilaian awal terhadap sebahagian daripada 5,000 individu yang diselamatkan dari pusat penipuan di Myawaddy, Myanmar, ratusan daripada mereka pergi ke sana secara sukarela.

Secara keseluruhan, mangsa sindiket penipuan dalam talian itu berasal dari sekitar 24 nengara termasuk 12 negara dikategorikan sebagai ‘negara sumber utama’

Justeru, Thatchai berkata perlu ada siasatan teliti terhadap warga dari 12 negara utama itu untuk mengenal pasti penjenayah berkenaan.

“Ramai individu menggunakan Thailand sebagai laluan untuk menyelinap masuk ke Myawaddy bagi mencari pekerjaan.

“Ini bukan sahaja dilakukan sindiket penipuan pusat panggilan, tetapi juga di sektor perjudian dalam talian dan pekerjaan lain,” katanya dalam satu temubual.

Kenyataan beliau bercanggah dengan laporan meluas bahawa pekerja di sindiket penipuan dalam talian sekitar Myawaddy adalah mangsa yang diperdaya oleh ketua-ketua sindiket jenayah.

Beberapa bekas pekerja penipuan mendedahkan mereka dikurung di dalam kompleks berkenaan dan dipaksa menipu individu secara dalam talian untuk memindahkan sejumlah besar wang dengan berpura-pura menjalin hubungan romantik.

Walaupun sindiket itu beroperasi selama beberapa tahun, ia kembali mendapat perhatian selepas kes penculikan pelakon China, Wang Xing, di Thailand pada Januari lalu, sebelum dia diselamatkan dari Myawaddy.

“Sejak kes Wang Xing, seramai 3,600 warga asing sudah melalui Mae Sot dan kami tidak menemui seorang pun yang diperdaya atau dipaksa datang ke sini,” kata Thatchai.

Beliau merujuk kepada maklumat dikumpulkan melalui pusat pemeriksaan polis di daerah sempadan Thailand berdekatan dengan Myawaddy, yang mana siasatan awal mendapati daripada 260 individu dari 24 negara itu, kebanyakannya tidak dipaksa.

“Mereka pergi ke sana secara sukarela,” katanya, sambil menambah beliau masih menunggu maklumat daripada negara seperti China dan India, bagi menentukan sama ada mereka diperdagangkan ke pusat penipuan di Myawaddy.

Beliau berkata, operasi penguatkuasaan setakat ini hanya memberi kesan kepada sebahagian kecil daripada operasi besar di Myawaddy, yang terletak di seberang sungai sempit dari bandar Mae Sot di Thailand.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya